PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIBUKA RENDAH AMBIL PETUNJUK DARIPADA PENURUNAN WALL STREET

31/12/2025 10:15 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) --  Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu, menjejaki penuruan daripada semalaman Wall Street susulan kemerosotan saham berkaitan teknologi.

Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.70 mata atau 0.28 peratus kepada 1,679.83 daripada 1,684.35 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.75 mata kepada 1,681.78.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 119 berbanding 106, dengan 279 kaunter tidak berubah, 2,182 tidak diniagakan dan 41 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 86.18 juta unit bernilai RM41.84 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah apabila sentimen dipengaruhi oleh minit mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang terbaharu, menunjukkan para pegawai Fed AS tidak sehaluan mengenai kadar penurunan kadar faedah AS pada masa depan.

Di peringkat tempatan, beliau berkata sentimen pasaran tempatan kekal berdaya tahan, disokong oleh pengumpulan berterusan oleh institusi tempatan meskipun aliran keluar bersih asing berterusan.

“Bagaimanapun, penyertaan runcit lemah seperti dicerminkan oleh jumlah harian yang rendah. Kami percaya ini mungkin bertambah baik dari semasa ke semasa sebaik sahaja kecairan meningkat dalam segmen permodalan besar.

“Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks akan diniagakan dalam julat 1,680 - 1,690,” katanya kepada Bernama.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank turun empat sen kepada RM10.46, manakala CIMB, Public Bank dan IHH Healthcare merosot tiga sen, masing-masing kepada RM8.20, RM4.51 dn RM8.57, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM13.78.

Bagi saham paling aktif, MQ Technology dan AHB tidak berubah masing-masing pada 8.5 sen dan 3.5 sen, Zetrix and Perak Transit berkurangan setengah sen masing-masing kepada  81.5 sen dan 27.5 sen, manakala Mega Fortris menambah satu sen 89 sen.

Saham paling untung menyaksikan Hap Seng naik lapan sen kepada RM2.90, manakala Kein Hin dan Country View menokok enam sen masing-masing kepada RM1.29 dan RM2.99, bagaimanapun Yoong Onn meningkat lima sen kepada RM1.58.

Bagi saham paling rugi, Vitrox berkurangan tujuh sen kepada RM4.08, manakala United Plantations dan SD Guthrie menguncup enam sen masing-masing kepada RM30.18 dan RM5.69, Press Metal dan QL Resources merosot empat sen masing-masing kepada RM7.18 dan RM3.79.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 23.38 mata kepada 12,301.17, Indeks FBMT Top 100 turun 27.98 mata kepada 12,108.41, Indeks FBM Emas Shariah turun 17.90 mata kepada 12,101.67, Indeks FBM Mid 70 turun 12 mata kepada 16,818.45 manakala Indeks FBM ACE meningkat 3.38 mata kepada 4,864.68.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 57.82 mata kepada 19,708.97, Indeks Tenaga merosot 0.98 mata kepada 767.75, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.04 mata kepada 173.79 dan Indeks Perladangan susut 16.06 mata kepada 8,326.13.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan