Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu hadapan berikutan sikap berhati-hati di tengah-tengah peningkatan paras stok.
Peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata paras stok yang tinggi boleh membuka peluang kepada pembeli untuk masuk ke pasaran pada paras harga yang menguntungkan, termasuk pembeli dari China, India, Pakistan, Timur Tengah, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.
“Dengan peniaga antarabangsa beransur-ansur kembali ke pasaran selepas cuti hujung tahun, harga dijangka kekal bergerak dalam jajaran kecil antara RM3,800 hingga RM3,900 setan,” katanya kepada Bernama.
Teh berkata pembelian secara fizikal yang lebih kukuh berpotensi membantu mengurangkan inventori yang kekal tinggi susulan paras stok yang meningkat pada November.
Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng daripada Iceberg X Sdn Bhd berkata sentimen pasaran berkemungkinan kekal berhati-hati kerana minat belian masih belum menunjukkan tanda-tanda peningkatan dalam keadaan penggunaan yang perlahan secara bermusim.
“Inventori yang mencukupi terus menyekat kenaikan harga, sekali gus mengehadkan potensi peningkatan walaupun sekali-sekala terdapat lantunan teknikal dalam pasaran,” katanya.
Ng juga berkata faktor luaran, termasuk prestasi lemah pasaran minyak sayuran berkaitan, dijangka terus menjejaskan sentimen apabila peniaga mengambil petunjuk daripada harga niaga hadapan minyak kacang soya yang lebih rendah.
“Dalam jangka masa terdekat, kami menjangkakan harga niaga hadapan MSM akan diniagakan antara RM3,900 hingga RM4,080 setan,” tambahnya.
Data industri daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunjukkan stok simpanan MSM negara meningkat 17.56 peratus bulan ke bulan kepada 1.74 juta tan pada November 2025 berbanding paras Oktober.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Januari 2026 susut RM106 kepada RM3,954 setan, Februari 2026 turun RM102 kepada RM3,980 setan, manakala Mac 2026 merosot RM98 kepada RM3,991 setan.
Kontrak April 2026 turun RM86 kepada RM3,999 setan, Mei 2026 susut RM75 kepada RM3,997 setan, manakala Jun 2026 merosot RM85 kepada RM3,994 setan.
Jumlah dagangan mingguan menurun kepada 166,003 lot daripada 239,880 lot pada minggu lalu, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 259,181 kontrak daripada 257,694 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan susut RM80 kepada RM4,000 setan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial