| BERITA TERGEMPAR | Warga ATM terlibat aktiviti tidak bermoral, rosakkan imej ATM akan disingkir daripada perkhidmatan - Mohamed Khaled | |
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi & Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini walaupun diniagakan sederhana tinggi pada sesi awal, disokong oleh kenaikan minyak pesaing terutama minyak bunga matahari dan minyak kacang soya serta momentum peningkatan harga tenaga.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang beribu pejabat di Mumbai Anilkumar Bagani berkata sentimen pasaran terus disokong oleh pengumuman kerajaan Indonesia mengenai kemungkinan menaikkan levi eksport minyak sawit daripada 10 peratus kepada 15 peratus untuk membiayai mandat biodiesel B50 negara.
"Pegawai Kementerian Tenaga Indonesia Eniya Listiani Dewi pada Khamis dilaporkan berbincang mengenai dana yang terhad. Sekiranya levi eksport Indonesia dinaikkan, ia akan menyokong potensi eksport minyak sawit Malaysia," katanya kepada Bernama.
Menurut Anilkumar, penggunaan biodiesel berasaskan sawit Indonesia meningkat kepada 14.2 juta kiloliter pada 2025, menokok 7.6 peratus tahun ke tahun.
“Pasaran kini menunggu data eksport dan pengeluaran minyak sawit bagi tempoh 1 hingga 10 Januari, menjelang laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Anggaran Bekalan dan Permintaan Pertanian Dunia (WASDE) yang akan diterbitkan oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) minggu hadapan,” katanya.
Selain itu, Atase USDA mengunjurkan pengeluaran minyak sawit Malaysia bagi 2025/2026 (Oktober/September) sebanyak 19.7 juta tan, meningkat daripada 19.5 juta tan yang dianggarkan dalam laporan WASDE pada Disember dan menokok berbanding 19.38 juta tan pada 2024/2025.
Eksport dianggarkan sebanyak 16.2 juta tan, meningkat daripada 16.1 juta tan yang diunjurkan oleh WASDE dan daripada 15.593 juta tan pada 2024/2025.
Stok akhir dianggarkan pada 2.162 juta tan, rendah berbanding unjuran WASDE sebanyak 2.34 juta tan dan berkurangan daripada 2.36 juta tan pada 2024/2025, katanya.
Mengenai permintaan, Anilkumar berkata India terus memenuhi keperluan minyak sawitnya tetapi sebahagian besarnya tertumpu kepada minyak campuran. Pakistan agak stabil dalam pembelian manakala China dan Kesatuan Eropah tidak aktif.
Pada penutupan dagangan, kontrak Januari 2026 menyusut RM35 kepada RM3,950 satu tan, Februari 2026 berkurangan RM10 kepada RM4,011, Mac 2026 menguncup RM7 kepada RM4,036, April 2026 rendah RM10 kepada RM4,049, Mei 2026 berkurangan RM6 kepada RM4,053 satu tan dan Jun 2026 susut RM4 kepada RM4,044 satu tan.
Jumlah dagangan menyusut kepada 96,579 lot daripada 110,659 pada Khamis manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 260,191 kontrak daripada 255,449 sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan meningkat RM10 kepada RM4,010 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial