PASARAN > BERITA

RINGGIT DIBUKA RENDAH BERBANDING DOLAR AS TETAPI TINGGI BERBANDING MATA WANG UTAMA

14/01/2026 09:24 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu tetapi diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Pada 8.01 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.0600/0680 berbanding dolar AS daripada 4.0555/0600 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata indeks dolar AS (DXY) telah meningkat sebanyak 0.29 peratus kepada 99.152 mata dalam persekitaran risiko geopolitik semakin memuncak, susulan protes di Iran terus menarik perhatian pentadbiran Donald Trump.

Ini menunjukkan potensi campur tangan daripada AS kemungkinan besar akan berlaku, katanya kepada Bernama.

“Pada masa sama, data makroekonomi di AS juga menunjukkan bahawa kadar inflasi utama pada bulan Disember kekal pada 2.7 peratus, manakala kadar inflasi teras menyederhana kepada 2.6 peratus.

Bagaimanapun, memandangkan kadar inflasi kekal jauh melebihi sasaran 2.0 peratus, Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka akan mengekalkan kadar penanda aras yang stabil dalam Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan datang, pada akhir bulan ini," katanya.

Beliau berkata ia mungkin mencetuskan ketegangan antara Fed AS dan pentadbiran Trump.

Pada pembukaan, ringgit didagangkan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5499/5551 daripada 2.5521/5551 ketika ditutup semalam, menokok berbanding euro kepada 4.7267/7360 daripada 4.7344/7396 dan melonjak berbanding pound Britain kepada 5.4506/4613 daripada 5.4676/4737 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1495/1562 daripada 3.1511/1549 ketika ditutup pada Selasa dan menambah berbanding baht Thailand kepada 12.8697/9008 daripada 12.8840/12.9036.

Namun ia merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 240.5/241.1 daripada 240.3/240.6 semalam dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 6.84/6.86 daripada 6.83/6.84 sebelum itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan