Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi dan Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, terjejas oleh keputusan Indonesia untuk menangguhkan pengenalan mandat biodiesel B50.
Ketua penyelidikan komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani, berkata Indonesia membatalkan rancangannya untuk meningkatkan campuran biodiesel mandatori kepada 50 peratus tahun ini, mengekalkan campuran semasa 40 peratus bahan api berasaskan minyak sawit dan 60 peratus diesel.
“Ini merupakan berita yang kurang mengujakan bagi minyak sawit tempatan, berserta rancangan kerajaan Indonesia untuk menaikkan levi (eksport MSM) sebanyak 2.5 mata peratusan, berbanding lima mata peratusan yang dijangkakan sebelum ini,” katanya kepada Bernama.
Peniaga daripada Iceberg X Sdn Bhd yang berpangkalan di Kuala Lumpur, David Ng, berkata sentimen pasaran turut terjejas oleh penurunan harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) dan juga harga minyak mentah.
Stok MSM yang tinggi turut memberi kesan kepada sentimen, katanya.
"Faktor-faktor ini telah mengurangkan momentum peningkatan, dengan pembeli juga kekal tidak memasuki pasaran di tengah-tengah kebimbangan lebihan bekalan yang berlarutan," katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak Januari 2026 tidak berubah pada RM3,950 setan metrik, Februari 2026 susut RM39 kepada RM3,961 setan metrik, dan Mac 2026 turun RM60 kepada RM3,980 setan metrik.
Kontrak April 2026 susut sebanyak RM69 kepada RM3,990 setan metrik, Mei 2026 turun RM72 kepada RM3,997 setan metrik dan Jun 2026 berkurangan RM68 kepada RM3,998 setan metrik.
Jumlah dagangan melonjak kepada 147,837 lot daripada 91,936 lot pada hari Rabu, manakala kepentingant terbuka meningkat kepada 259,206 kontrak daripada 257,760 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM bagi Januari Selatan menurun sebanyak RM40 kepada RM3,990 setan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial