PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA AKHIRI DAGANGAN PAGI LEBIH RENDAH KETIKA AKTIVITI PENGAMBILAN UNTUNG

16/01/2026 02:47 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pagi ini lebih rendah ketika aktiviti pengambilan untung dalam kalangan saham wajaran tinggi perladangan dan perkhidmatan kewangan terpilih.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.62 mata atau 0.21 peratus kepada 1,711.54 daripada 1,715.16 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 2.47 mata kepada 1,717.63 dan bergerak antara 1,709.34 dan 1,721.48 semasa sesi berkenaan.

Sentimen pasaran pula negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 506 berbanding 395 manakala 549 kaunter tidak berubah, 1,206 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 1.88 bilion saham bernilai RM1.41 bilion.

Jabatan Perangkaan pada tengah hari ini mengumumkan anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) awalan bagi suku keempat 2025, dengan ekonomi Malaysia diunjur bertumbuh 5.7 peratus, disokong oleh prestasi sektor utama ekonomi yang memberangsangkan dan permintaan domestik yang kukuh.

Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata prestasi lemah FBM KLCI dalam keadaan data KDNK yang positif adalah normal memandangkan pasaran masih menilai anggaran awalan itu.

Penurunan di pasaran pada masa ini sebahagian besarnya disebabkan aktiviti pengambilan untung selepas lima hari berturut-turut mencatat kenaikan, katanya sambil memaklumkan minat belian terutama daripada pelabur asing lazimnya berlaku pada sesi dagangan petang.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik lapan sen kepada RM11.18 manakala Public Bank susut satu sen kepada RM4.74, CIMB rendah empat sen kepada RM8.41, Tenaga Nasional menyusut lapan sen kepada RM13.84 dan IHH rendah tiga sen kepada RM8.40.

Bagi saham paling aktif, Zetrix AI tidak berubah pada 82.5 sen manakala Capital A naik 2.5 sen kepada 55.5 sen, Velesto meningkat setengah sen kepada 28 sen, Northeast menokok 6.5 sen kepada 66 sen dan Tanco menambah satu sen kepada RM1.25.

Antara saham paling untung, Malaysian Pacific meningkat 88 sen kepada RM34.58, Fraser & Neave naik 26 sen kepada RM36.26, Batu Kawan melonjak 22 sen kepada RM20.24, Southern Cable meningkat 15 sen kepada RM2.39 dan Hong Leong Financial naik 14 sen kepada RM20.96.

Bagi saham paling rugi, United Plantations susut 78 sen kepada RM32.20, KL Kepong rendah 50 sen kepada RM20.04, Ayer Holdings menyusut 41 sen kepada RM6.98, Westports berkurangan 28 sen kepada RM5.84, dan Hong Leong Bank rendah 16 sen kepada RM23.84.

Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas berkurangan 18.52 mata kepada 12,638.11, Indeks FBM Top 100 susut 20.06 mata kepada 12,429.95 dan Indeks FBM Emas Shariah rendah 38.73 mata kepada 12,288.32.

Indeks FBM Mid 70 susut 0.81 mata kepada 17,684.74 dan Indeks FBM ACE rendah 13.16 mata kepada 4,952.80.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 33.25 mata kepada 20,737.53, Indeks Tenaga susut 5.02 mata kepada 781.41, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 0.38 mata kepada 174.35, dan Indeks Perladangan menyusut 58.87 mata kepada 8,390.16.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan