Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Indeks penanda aras Bursa Malaysia melantun dan ditutup lebih tinggi pada akhir dagangan Rabu ketika pelabur menumpukan aktiviti memburu saham berharga rendah susulan aktiviti pengambilan untung semalam yang seiring kenaikan kebanyakan pasaran serantau.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.75 mata atau 0.39 peratus kepada 1,705.81 daripada paras penutup 1,699.06, semalam.
Sewaktu dibuka, indeks itu susut 4.25 mata kepada 1,694.81 dan bergerak dalam julat rendah intra hari 1,693.95 dalam sesi awal dan mencecah paras tinggi 1,708.62 dalam sesi kemudiannya.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 591 berbanding 442 manakala 568 tidak berubah, sebanyak 1,083 tidak diniagakan dan 10 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.94 bilion unit bernilai RM3.14 bilion daripada 2.85 bilion unit bernilai RM2.86 bilion, semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama itu terus bergerak ke arah paras sokongan pada 1,700, dipacu oleh minat belian berterusan terhadap saham-saham mewah.
“Ini memaparkan keyakinan terhadap asas-asas tempatan ketika pelabur kekal dengan pendirian lebih memilih namun pada masa sama sedia membeli saham-saham tertentu walaupun dalam senario faktor luaran yang tidak menentu.
“Selagi minat belian kekal ketara, FBM KLCI dijangka terus berdaya tahan dalam masa terdekat ini dengan sebarang tindakan melepaskan pegangan dijangka lebih sederhana dan teratur,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata saham-saham perbankan mendahului kaunter untung dalam kalangan komponen FBM KLCI ketika pelabur bertindak mengambil pendirian menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Bank Negara Malaysia esok dengan jangkaan kadar dasar semalaman (OPR) dikekalkan.
Beliau berkata pasaran pengguna juga meningkat, disokong oleh pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah yang dikreditkan semalam dan pelarasan gaji Fasa 2 penjawat awam esok yang dijangka memacu perbelanjaan isi rumah dan aktiviti transaksi berkaitan.
Saham wajaran tinggi Maybank naik empat sen kepada RM11.10, Public Bank meraih dua sen kepada RM4.74, CIMB dan IHH menokok lima sen kepada RM8.22 dan RM8.46 manakala Tenaga Nasional mendatar pada RM13.80.
Kaunter saham paling aktif menyaksikan Velesto, Zetrix AI dan Tanco masing-masing naik satu sen kepada 29 sen, 81.5 sen dan RM1.29, SBS Nexus jatuh satu sen kepada 23 sen dan IJM berkurangan lapan sen kepada RM2.49.
Saham paling untung Hong Leong Financial yang naik 56 sen kepada RM20.84, Dutch Lady meningkat 50 sen kepada RM31.78, Fraser & Neave dan Malaysian Pacific Industries masing-masing naik 44 sen kepada RM36.16 dan RM34.00 manakala Petronas Gas meningkat 38 sen kepada RM18.80.
Dalam kalangan saham paling rugi, United Plantations turun 76 sen kepada RM30.30, Nestle merosot 40 sen kepada RM115.60, BLD Plantation turun 30 sen kepada RM15.30, Far East berkurangan 25 sen kepada RM3.95 dan KL Kepong susut 20 sen kepada RM20.00.
Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas meningkat 49.74 mata kepada 12,564.94, Indeks FBM Top 100 naik 46.50 mata kepada 12,359.04, Indeks FBM ACE menambah 37.47 mata kepada 4,918.71, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 50.78 mata kepada 12,243.49 manakala Indeks FBM Mid 70 menambah 54.77 mata kepada 17,452.61.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 104.10 mata kepada 20,548.66, Indeks Tenaga turun 0.15 mata kepada 770.68, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.79 mata kepada 175.07 manakala Indeks Perladangan susut 32.96 mata kepada 8,298.13.
Jumlah dagangan Pasaran Utama tidak berubah pada 1.51 bilion unit manakala nilainya meningkat kepada RM2.86 bilion daripada 1.51 bilion unit bernilai RM2.58 bilion, semalam.
Jumlah waran pula meningkat kepada 939.71 juta unit bernilai RM109.84 juta daripada 852.39 juta unit bernilai RM115.84 juta sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 483.39 juta unit bernilai RM163.83 juta daripada 480.23 juta unit bernilai RM167.71 juta, semalam.
Kaunter produk pengguna dan perkhidmatan menyumbang 218.78 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (283.49 juta), pembinaan (141.92 juta), teknologi (214.37 juta), perkhidmatan kewangan (111.97 juta), hartanah (166.26 juta), perladangan (26.41 juta), dana pelaburan hartanah (19.60 juta), dana tertutup (9,000), tenaga (156.24 juta), penjagaan kesihatan (50.81 juta), telekomunikasi dan media (31.74 juta), pengangkutan dan logistik (65.44 juta), utiliti (31.30 juta) serta amanah perniagaan (609,900).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial