PASARAN > BERITA

RINGGIT DIBUKA HAMPIR PADA PARAS TERTINGGI LEBIH TUJUH TAHUN DIDORONG OPR DIKEKALKAN

26/01/2026 09:32 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar AS pada Isnin, berada hampir pada paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun berikutan kesediaan mengambil risiko yang meningkat selepas keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan indeks dolar AS yang rendah.

Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 3.9850/9950 berbanding dolar AS daripada 4.0045/0080 dicatatkan pada Jumaat lepas.

Ringgit kali terakhir diniagakan pada paras yang sama adalah pada 24 Mei 2018 apabila ia mencecah RM3.9797 berbanding dolar AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan disokong oleh prospek ekonomi Malaysia yang positif terutamanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM yang diadakan baru-baru ini.

“BNM mungkin cenderung untuk mengekalkan OPR dan kami melihat potensi kenaikan berikutan purata jangka panjang dari 21 Julai 2005 hingga hari ini adalah kira-kira RM3.82,” katanya.

Mengenai faktor global, katanya tumpuan utama adalah kepada Dolar-Yen (USDJPY) apabila pihak berkuasa dilihat melakukan campur tangan secara langsung dalam pasaran mata wang pertukaran asing.

“Ini berlaku berikutan Jepun akan mengadakan pilihan raya pada 8 Februari dan janji-janji pilihan raya kebanyakannya bersifat populis yang boleh memberikan tekanan terhadap kedudukan fiskal Jepun.

“Dilihat terdapat campur tangan oleh pihak berkuasa yang boleh menyebabkan dolar AS menjadi lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.43 peratus kepada 97.181 mata pada masa ini. 

Sehubungan itu, katanya USDMYR berpotensi melepasi paras RM4.0000 pada sesi penutupan hari ini. 

Ia diniagakan dalam tempoh yang singkat pada RM3.99 pada tengah hari Jumaat lepas tetapi ditutup pada RM4.0062.

Ringgit merosot berbanding yen Jepun kepada 2.5680/5748 daripada 2.5337/5361 pada Jumaat lepas, rendah berbanding pound kepada 5.4447/4584 daripada 5.4177/4224 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.7258/7377 daripada 4.6993/7034 sebelum ini.

Mata wang tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1348/1429 daripada 3.1302/1330 pada Jumaat lepas, merosot berbanding baht Thailand kepada 12.8420/8858 daripada 12.8362/8544, bagaimanapun meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 236.9/237.6 daripada 238.0/238.3 dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.74/6.76 daripada 6.77/6.78  sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan