Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Ringgit dijangka mengekalkan momentum pengukuhannya, diniagakan dalam julat 3.93-3.96 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan ketika pelabur mengalihkan tumpuan terhadap pengumuman data penting AS bagi mendapat petunjuk baharu.
Awal minggu ini, ringgit mengukuh dan melepasi paras psikologi 4.00 berbanding dolar AS dan meneruskan peningkatan yang bermula seminggu sebelumnya, sekali gus memaparkan pemulihan sentimen terhadap asas-asas ekonomi negara dan kestabilan politik.
Pada Selasa, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata aspek seperti dasar jelas, pembaharuan berterusan kerajaan dan faktor luaran merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan kukuh ringgit ke paras tertinggi yang kali terakhir dilihat pada 2018.
Beliau berkata walaupun faktor luaran dan domestik memainkan peranan penting, namun faktor domestik tetap menjadi tumpuan utama untuk memperkukuh asas ekonomi, meningkatkan daya saing dan mengekalkan langkah-langkah pembaharuan yang menyokong pertumbuhan jangka panjang.
“Inilah pemacu ringgit pada masa hadapan. Usaha ini sangat penting dan jika kita melakukannya dengan betul, ringgit akan menjadi lebih menarik dan pelaburan mengalir masuk ke negara ini,” kata Abdul Rasheed dalam temu bual dengan Bernama, baru-baru ini.
Ringgit mencecah paras 3.9175 berbanding dolar AS yang juga paras penutup tertingginya sejak April 2018.
Bagi perbandingan tahun ke tahun, mata wang tempatan itu telah mengukuh 10.77 peratus berbanding dolar AS.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penggiat pasaran akan mengikuti rapat pengumuman data akan datang AS, terutama laporan guna tenaga bukan perladangan dan indeks Institute for Supply Management (ISM) untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Beliau berkata Rizab Persekutuan AS (Fed) menerusi kenyataan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), mengekalkan pandangan bahawa aktiviti ekonomi AS terus berkembang pada kadar kukuh.
Padangan itu hanya mendorong peniaga dan pelabur untuk menilai sama ada data terbaharu itu akan terus menyokong pandangan sedemikian.
“Di sebalik pergerakan ringgit hari ini, mata wang itu secara amnya telah mengukuh agak ketara minggu ini iaitu meningkat kira-kira 1.6 peratus daripada paras minggu lalu iaitu 4.0068 berbanding dolar AS pada 23 Jan, 2026,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit akan kekal mendapat sokongan baik dalam julat 3.93 hingga 3.96 berbanding dolar AS.
Dalam pada itu, Kenanga Investment Bank Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata tumpuan minggu depan akan beralih kepada data pasaran buruh AS yang dijangka mempengaruhi unjuran terhadap dasar Fed dalam tempoh menjelang Mac ini.
“Jangkaan awal pasaran menunjukkan laporan guna tenaga bukan perladangan yang kukuh serta kadar pengangguran yang stabil dan ini berpotensi menyuntik sokongan sederhana terhadap dolar AS dalam tempoh terdekat.
“Melangkaui data makroekonomi, pasaran turut memantau calon pilihan Presiden Donald Trump bagi menggalas tugas Pengerusi bank pusat yang akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.
Pada hari urus niaga terakhir minggu ini, ringgit mencatat peningkatan ketara berbanding dolar AS, mengukuh secara mingguan untuk ditutup pada paras 3.9440/9500 berbanding 4.0045/0080 pada Jumaat lalu.
Selain itu, ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini dengan kebanyakannya mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ini termasuk naik berbanding pound Britain kepada 5.4163/4245 daripada 5.4177/4224, meningkat berbanding euro kepada 4.6957/7029 daripada 4.6993/7034 namun susut berbanding yen Jepun kepada 2.5562/5603 daripada 2.5337/5361 seminggu sebelumnya.
Ringgit turut kukuh berbanding mata wang serantau ASEAN.
Berbanding dolar Singapura, ringgit meningkat kepada 3.1077/1127 daripada 3.1302/1330, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.5250/5544 daripada 12.8362/8544, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 234.9/235.4 daripada 238.0/238.3 dan lebih tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.69/6.71 daripada 6.77/6.78, sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial