Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi pada Isnin, disokong oleh minat berterusan dalam saham mewah, seiring dengan prestasi memberangsangkan di pasaran serantau, kata penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 18.47 mata atau 1.07 peratus kepada 1,751.30 daripada 1,732.83 ketika ditutup pada Jumaat.
Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 11.91 mata kepada 1,744.74 dan bergerak antara paras terendah harian 1,736.32 pada awal dagangan dan paras tertinggi 1,752.13 semasa sesi pertengahan petang.
Pasaran secara menyeluruh adalah positif dengan 798 kaunter untung mengatasi 355 kaunter rugi manakala sebanyak 515 kaunter tidak berubah, 995 kekal tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 3.12 bilion unit bernilai RM2.90 bilion.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata saham perbankan memacu prestasi bursa tempatan hari ini, disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang dilihat kukuh.
“Selera risiko juga semakin meningkat di pasaran secara menyeluruh apabila indeks FBM Small Cap menokok 0.8 peratus, menunjukkan penyertaan yang lebih baik bukan sahaja tertumpu kepada saham berwajaran tinggi dalam indeks.
“Sektor teknologi mencatat prestasi lebih baik selari dengan pengukuhan semalaman di Wall Street apabila sentimen risiko yang semakin baik dan jangkaan pendapatan yang berdaya tahan terus menyokong segmen pertumbuhan dan berteras teknologi.
“Keadaan ini sekali gus memberikan sentimen positif di peringkat serantau,” katanya kepada Bernama.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran serantau turut ditutup tinggi apabila aktiviti belian pada harga rendah berlaku selepas prestasi yang tidak menentu pada minggu lepas.
Beliau berkata pasaran Asia menerima sokongan daripada kenaikan harga saham syarikat pembuat cip di Amerika Syarikat (AS) serta saham berkaitan kecerdasan buatan pada Jumaat lepas.
“Perhatian kini tertumpu kepada pengumuman data ekonomi utama AS lewat minggu ini terutama data pekerjaan dan inflasi yang tertangguh, yang berpotensi memberikan gambaran baharu mengenai prospek kadar faedah serta hala tuju pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata di dalam negara, pergerakan kukuh melepasi paras 1,750 dijangka mempercepat aliran meningkat yang sedang berlaku sekali gus membuka peluang kepada kenaikan selanjutnya.
“Sebarang penurunan sementara dijangka kekal terkawal dan menyediakan peluang untuk mengumpul saham. Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI bergerak dalam julat 1,730 hingga 1,760 minggu ini,” kata Thong.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank naik 12 sen kepada RM12.06, Public Bank menambah 11 sen kepada RM5.08 dan CIMB mengukuh sembilan sen kepada RM8.55. Tenaga Nasional meningkat 20 sen kepada RM14.14 dan IHH Healthcare menokok 14 sen kepada RM8.94.
Bagi saham paling aktif, Zetrix AI menokok 12 sen kepada 80.5 sen, MMAG Holdings rendah setengah sen kepada 4.5 sen, Tanco naik tiga sen kepada RM1.36, Ambest Group turun 1.5 sen kepada 33 sen dan Pharmaniaga meningkat setengah sen kepada 30 sen.
Saham paling untung termasuk Allianz Malaysia yang melonjak 86 sen kepada RM23.06 manakala United Plantations meningkat 82 sen kepada RM29.82 dan Hong Leong Industries naik 66 sen kepada RM17.50.
Petronas Gas pula meningkat 30 sen kepada RM18.50 dan Malayan Cement naik 26 sen kepada RM8.50
Saham paling merosot adalah Nestle (M) yang rendah 70 sen kepada RM111.60 manakala Axiata Group susut 20 sen kepada RM2.19 dan Hong Leong Financial Group menyusut 16 sen kepada RM22.40. Harrison Holdings rendah 10 sen kepada RM1.20.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 naik 145.23 mata kepada 12,616.22, Indeks FBM Emas meningkat 144.86 mata kepada 12,784.55 dan Indeks FBM Mid 70 menokok 256.26 mata kepada 17,490.38.
Indeks FBM Emas Shariah meningkat 129.23 mata kepada 12,234.72 dan Indeks FBM ACE naik 98.53 mata kepada 4,729.32.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 248.01 mata kepada 21,724.95, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 2.54 mata kepada 176.01, Indeks Perladangan meningkat 34.89 mata kepada 8,358.52 dan Indeks Tenaga naik 0.60 mata kepada 739.61.
Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.66 bilion unit bernilai RM2.61 bilion daripada 1.68 bilion unit bernilai RM2.80 bilion pada Jumaat.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 972.26 juta unit bernilai RM125.01 juta daripada 810.24 juta unit bernilai RM88.93 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 481.26 juta unit bernilai RM159.09 juta daripada 529.41 juta unit bernilai RM207.76 juta Jumaat lepas.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 240.22 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (271.62 juta), pembinaan (182.72 juta), teknologi (349.68 juta), perkhidmatan kewangan (111.37 juta), hartanah (175.24 juta), perladangan (16.22 juta), amanah pelaburan hartanah (26.70 juta), dana tertutup (17,000), tenaga (93.25 juta), penjagaan kesihatan (76.22 juta), telekomunikasi dan media (48.57 juta), pengangkutan dan logistik (39.15 juta), utiliti (36.29 juta) dan amanah perniagaan (146,500).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial