Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya apabila mengakhiri urus niaga hari ini dengan mencecah semula paras 3.92 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Prestasi itu dicatatkan ketika pelabur melakukan persiapan bagi tindakan selanjutnya menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku keempat 2025 pada Jumaat ini.
Pada 6 petang, ringgit mengukuh di paras 3.9220/9260 berbanding dolar AS daripada paras 3.9325/9375 yang dicatatkan semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pihak berkuasa China telah bertindak menasihati institusi kewangan negara itu bagi mengehadkan pendedahan terhadap bon-bon Perbendaharaan AS.
Langkah itu, katanya, hanya mendorong kepada pengukuhan yuan China berbanding dolar AS, sekali gus meningkatkan lagi nilai ringgit.
Beliau berkata ringgit juga terbukti mengekalkan pengukuhannya berbanding dolar AS, mencecah paras 3.9215 pada sesi pagi ini.
“Ringgit dilihat menjejaki aliran sama seperti yuan, susulan kaitan rapat antara kedua-dua mata wang itu pada pekali korelasi melebihi 90 peratus.
“Pada masa ini, ringgit mendapat sokongan baik dan pengumuman KDNK Malaysia pada Jumaat ini akan hanya memberi kewajaran seterusnya untuk mengukuh berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.
Ini termasuk susut berbanding yen Jepun kepada 2.5264/5292 daripada 2.5104/5137 semalam, rendah berbanding pound Britain pada 5.3610/3664 daripada 5.3482/3550 dan turun berbanding euro pada 4.6731/6778 daripada 4.6647/6707, sebelumnya.
Namun, ringgit kebanyakannya ditutup mengukuh berbanding mata wang negara anggota ASEAN lain, kecuali susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0994/1028 daripada 3.0979/10.21.
Ringgit naik berbanding rupiah Indonesia kepada 233.3/233.6 daripada 234.0/234.4, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.5866/6051 daripada 12.5876/6101 selain mengukuh berbanding peso Filipina pada paras 6.70/6.71 daripada 6.72/6.74, sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial