PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA CATAT KENAIKAN SEDERHANA; JUMLAH DAGANGAN DIJANGKA KEKAL RENDAH

13/02/2026 11:36 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan sederhana dalam dagangan awal pada Jumaat, dengan jumlah dagangan dijangka kekal rendah berikutan pelabur terus berhati-hati menjelang cuti Tahun Baharu Cina minggu depan.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.01 mata kepada 1,750.86 selepas dibuka rendah 2.96 mata kepada 1,747.89 daripada 1,750.85 semasa ditutup pada Khamis.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 251 berbanding 105 manakala 258 kaunter tidak berubah, 2,123 kekal tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 169.47 juta saham bernilai RM99.14 juta.  

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks barometer mencatatkan penurunan pada Khamis berikutan aktiviti pengambilan untung menjelang minggu dagangan yang singkat.

“Bagaimanapun, kami berpendapat jika indeks terus menyusut, ia memberikan peluang yang amat baik untuk membeli saham pada harga rendah,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata jumlah dagangan harian kekal rendah dengan penyertaan pelabur runcit masih kurang menggalakkan, dapat dilihat daripada aliran keluar bersih setakat ini melebihi RM2 bilion.

“Hari ini, kami menjangka indeks berada dalam julat 1,745 hingga 1,755,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank berkurangan dua sen kepada RM12.12, Public Bank mendatar pada RM5.13, CIMB merosot satu sen kepada RM8.52, Tenaga Nasional menyusut empat sen kepada RM14.00 manakala IHH meningkat satu sen kepada RM8.74.

Dalam senarai paling aktif, Hock Soon merosot lima sen kepada 55 sen, MAG menambah 0.5 sen kepada 17 sen, VS Industry berkurangan 1.5 sen kepada 39 sen dan Pharmaniaga menurun satu sen kepada 31 sen.

Antara kaunter lain yang mencatatkan penurunan, Nestle merosot 50 sen kepada RM110.10, Malaysian Pacific Industries berkurangan 46 sen kepada RM30.54, CI Holdings menurun 12 sen kepada RM2.62 dan United Plantations menyusut 10 sen kepada RM29.52.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 merosot 8.78 mata kepada 12,622.11, Indeks FBM Emas berkurangan 14.78 mata kepada 12,790.66, Indeks FBM Mid 70 menurun 50.97 mata kepada 17,539.65, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 16.81 mata kepada 12,244.82 dan Indeks FBM ACE merosot 19.91 mata kepada 4,755.22.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 12.14 mata kepada 21,750.72, Indeks Perladangan merosot 0.47 mata kepada 8,354.56, Indeks Tenaga naik 0.92 mata kepada 751.87 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 0.26 mata kepada 176.47.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan