Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia mengatasi penurunan awalnya dan ditutup tinggi sedikit pada Isnin berikutan pelabur terus mengambil pendekatan berhati-hati dan mengambil peluang berbanding mengelakkan risiko secara menyeluruh menjelang cuti Tahun Baharu Cina.
Pasaran ditutup pada 17 dan 18 Februari ini sempena cuti Tahun Baharu Cina.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.72 mata atau 0.10 peratus kepada 1,741.26 daripada 1,739.54 semasa ditutup pada Jumaat.
Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 1.12 mata kepada 1,740.66 dan bergerak antara 1,733.06 hingga 1,743.01 sepanjang sesi dagangan.
Pasaran secara keseluruhan adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 528 berbanding 464 manakala 547 kaunter tidak berubah. Sebanyak 1,198 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan lebih rendah kepada 1.81 bilion unit bernilai RM1.81 bilion daripada 2.43 bilion unit bernilai RM2.6 bilion pada Jumaat.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata tekanan jualan pada sesi awal dagangan berjaya diredakan melalui pembelian terpilih pada petang sekali gus membolehkan indeks itu ditutup dalam zon positif.
Beliau berkata pemulihan dagangan harian itu menunjukkan risiko penurunan yang kekal terkawal, dengan peniaga mengambil pendirian berhati-hati namun secara terpilih, lebih cenderung kepada langkah mengambil peluang berbanding penghindaran risiko secara menyeluruh.
"Keseluruhan aktiviti pasaran adalah perlahan, dengan jumlah dagangan menyusut di bawah dua bilion saham, mencerminkan mudah tunai yang lebih tipis menjelang tempoh cuti Tahun Baharu Cina di pasaran serantau.
“Kenaikan sederhana indeks lebih didorong oleh penstabilan dan penentuan kedudukan saham tertentu berbanding pembelian kukuh berasaskan keyakinan yang tinggi,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 12 sen kepada RM11.94, CIMB merosot lapan sen kepada RM8.38, IHH Healthcare turun satu sen kepada RM8.82, Public Bank naik satu sen kepada RM5.05 manakala Tenaga Nasional menambah 46 sen kepada RM14.42.
Selain Tenaga Nasional, antara kaunter paling untung adalah Petronas Gas yang meningkat 38 sen kepada RM18.60, Dutch Lady Milk naik 32 sen kepada RM33.28, Nestle menokok 30 sen kepada RM109.30 dan Knusford melonjak 26 sen kepada 67.5 sen.
Bagi saham paling aktif, Hong Seng naik setengah sen kepada satu sen, Zetrix AI meningkat lima sen kepada 85 sen, Tanco menambah dua sen kepada RM1.43, 99 Speed Mart susut 22 sen kepada RM3.73 dan Pharmaniaga naik setengah sen kepada 31 sen.
Selain 99 Speed Mart, kaunter paling rugi termasuk United Plantations yang susut 36 sen kepada RM29.82, Allianz Malaysia merosot 24 sen kepada RM22.26, Alliance Bank turun 22 sen kepada RM5.07 dan Hong Leong Bank berkurangan 16 sen kepada RM23.96.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 14.41 mata kepada 12,579.22, Indeks FBM Emas menambah 18.35 mata kepada 12,756.55, Indeks FBM Mid 70 meningkat 28.92 mata kepada 17,598.59, Indeks FBM Emas Shariah menambah 87.09 mata kepada 12,309.10 dan Indeks FBM ACE meningkat sebanyak 31.74 mata kepada 4,772.79.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 165.46 mata kepada 21,358.42, Indeks Perladangan turun 16.58 mata kepada 8,360.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.18 mata kepada 177.26 dan Indeks Tenaga menokok 3.72 mata kepada 754.82.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.15 bilion unit bernilai RM1.68 bilion daripada 1.32 bilion unit bernilai RM2.39 bilion pada Jumaat.
Jumlah dagangan waran rendah kepada 401.15 juta unit bernilai RM49.71 juta daripada 640.31 juta unit bernilai RM64.46 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 259.17 juta unit bernilai RM80.65 juta daripada 467.48 juta unit bernilai RM140.40 juta pada Jumaat.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 172.54 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (213.21 juta), pembinaan (82.03 juta), teknologi (301.45 juta), perkhidmatan kewangan (47.69 juta), hartanah (127.17 juta), perladangan (18.82 juta), amanah pelaburan hartanah (15.85 juta), dana tertutup (15,000), tenaga (58.28 juta), penjagaan kesihatan (48.06 juta), telekomunikasi dan media (21.92 juta), pengangkutan dan logistik (17.09 juta), utiliti (22.19 juta), dan amanah perniagaan (252,700).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial