Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, mencerminkan kenaikan dalam pasaran serantau disebabkan sentimen bertambah baik susulan pertumbuhan ekonomi domestik yang kukuh.
Pasaran ditutup pada 17 dan 18 Februari lepas sempena cuti Tahun Baharu Cina.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.83 mata atau 0.39 peratus kepada 1,748.09 berbanding 1,741.26 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 6.82 mata lebih tinggi kepada 1,748.08.
Pasaran secara keseluruhan adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 186 berbanding 112, manakala 298 kaunter tidak berubah, sebanyak 2,141 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan pada 108,90 juta unit bernilai RM77.35 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Indeks Hang Seng Hong Kong dibuka pada kedudukan yang lebih kukuh, meningkat 0.52 peratus kepada 26,705.94 mata dan peniaga kekal optimis bahawa aliran meningkat itu akan berterusan.
“Di peringkat tempatan, jumlah dagangan harian FBM KLCI kekal rendah pada sekitar 1.80 bilion saham semasa penutupan baru-baru ini, jelas menunjukkan ketiadaan penyertaan runcit.
“Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks mengekalkan peningkatan dan alirannya dalam julat 1,740-1,750, disokong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat Malaysia yang kukuh sebanyak 6.3 peratus, melebihi jangkaan,” katanya kepada Bernama.
Thong berkata Wall Street ditutup lebih tinggi, kebanyakannya diterajui oleh saham teknologi, susulan pengumuman minit mesyuarat dasar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, kebanyakan peserta bersetuju untuk mengekalkan kadar faedah pada paras semasa.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB naik enam sen masing-masing kepada RM12 dan RM8.44, Public Bank meningkat satu sen kepada RM5.06 dan IHH Healthcare menokok 11 sen kepada RM8.93, manakala Tenaga Nasional susut 10 sen kepada RM14.32.
Bagi saham paling aktif, TWL dan Hubline tidak berubah, masing-masing pada 2.5 sen dan 3.5 sen, Zetrix AI naik tiga sen kepada 88 sen, manakala OCR Group turun setengah sen kepada 4.5 sen, manakala Magma menokok 0.5 sen kepada 32.5 sen.
Kaunter paling untung menyaksikan Malaysian Pacific Industries menambah 38 sen kepada RM30.36, Petronas Dagangan melonjak 24 sen kepada RM20.86, Hong Leong Bank naik 14 sen kepada RM24.10, PPB menambah 12 sen kepada RM11.16 dan IOI Properties meningkat 11 sen kepada RM3.62.
Sementara itu, selain daripada Tenaga Nasional, antara kaunter paling rugi ialah United Plantations, susut 20 sen kepada RM29.62, manakala IGB merosot 15 sen kepada RM3.65, 99 Speed Mart berkurangan tujuh sen kepada RM3.66 dan ITMax turun tiga sen kepada RM4.91.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 naik 51.54 mata kepada 12,630.76, Indeks FBM Emas meningkat 51.18 mata kepada 12,807.73, Indeks FBM Mid 70 menambah 82.33 mata kepada 17,680.92, Indeks FBM Emas Shariah menokok 49.73 mata kepada 12,358.83, bagaimanapun Indeks FBM ACE turun 6.53 mata kepada 4,766.26.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 88.09 mata kepada 21,446.51, Indeks Perladangan menambah 14.07 mata kepada 8,374.42, Indeks Tenaga menokok 5.21 mata kepada 760.03, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.41 mata kepada 177.67.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial