Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia tidak banyak berubah pada sesi dagangan awal pada Jumaat, mencatatkan penurunan daripada kenaikan ketika pembukaan dan mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lemah.
Pada 9.10 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.80 mata atau 0.05 peratus kepada 1,751.31 daripada 1,752.11 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.68 mata pada 1,752.79.
Pasaran secara meluas adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 138 berbanding 110 manakala sebanyak 276 kaunter tidak berubah, 2,234 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 93.35 juta unit bernilai RM59.18 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street merosot apabila pelabur beralih daripada saham kewangan terutamanya saham kredit swasta, dalam persekitaran kebimbangan mengenai kerugian dalam segmen pinjaman swasta.
“Di peringkat tempatan, FBM KLCI kelihatan disokong oleh pengumpulan saham berterusan daripada dana asing.
“Walaupun kenaikan disebabkan perayaan Tahun Baharu Cina mungkin tidak akan berlaku, aliran masuk dana yang berterusan akhirnya boleh mencetuskan minat terhadap saham permodalan kecil dan sederhana. Hari ini, kami menjangkakan indeks penanda aras akan berlegar antara 1,750 dan 1,760,” katanya kepada Bernama.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM12.08, manakala Public Bank dan CIMB turun satu sen, masing-masing kepada RM5.05 dan RM8.46, Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM14.2, manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM8.91.
Bagi saham aktif, NexG menambah 1.5 sen kepada 30.5 sen, Astro Malaysia naik setengah sen kepada 80 sen, MAG dan Borneo Oil tidak berubah, masing-masing pada 18 sen dan satu sen, Tanco menokok satu sen kepada RM1.45.
Kaunter paling untung menyaksikan Panasonic Manufacturing naik 12 sen kepada RM7.72, Malaysian Pacific Industries meningkat 10 sen kepada RM30.88, Sarawak Plantation melonjak sembilan sen kepada RM3.58, Teck Guan Perdana menambah tujuh sen kepada RM2.11 dan 99 Speed Mart menokok enam sen kepada RM3.56.
Antara kaunter paling rugi ialah United Plantations turun 12 sen kepada RM29.84, Allianz Malaysia merosot lapan sen kepada RM22.58, Malayan Cement dan Vitrox, menguncup enam sen masing-masing kepada RM8.54 dan RM4.24, manakala Press Metal Aluminium berkurangan lima sen kepada RM7.63.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 7.05 mata kepada 12,671.42, Indeks FBM Emas berkurangan 7.92 mata kepada 12,852.55, Indeks FBM 70 merosot 15.86 mata kepada 17,815.94, Indeks FBM Emas Shariah turun 10.92 mata kepada 12,392.87 dan Indeks FBM ACE menguncup 7.49 mata kepada 4,821.02.
Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 3.90 mata kepada 21,569.0, Indeks Perladangan naik 0.52 mata kepada 8,402.83, Indeks Tenaga turun 0.18 mata kepada 773.93 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.61 mata kepada 177.89.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial