PASARAN > BERITA

PASARAN GETAH DITUTUP TINGGI MENJEJAKI PENINGKATAN SERANTAU

23/02/2026 07:03 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi pada Isnin menjejaki kenaikan niaga hadapan getah serantau di tengah-tengah perdagangan yang rendah susulan cuti umum di China dan Jepun.

Sentimen pasaran turut disokong oleh keputusan terkini Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) mengenai tarif AS, menurut seorang peniaga.

"Keputusan Mahkamah Agung AS untuk membatalkan pelbagai tarif Presiden AS Donald Trump dilihat sebagai sokongan kepada pertumbuhan global," katanya.

Media melaporkan pada Jumaat bahawa Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar langkah tarif terdahulu Trump dengan memutuskan beliau tiada kuasa di bawah undang-undang AS untuk mengenakan tarif unilateralisme secara meluas.

Peniaga itu menambah, keyakinan terhadap rangsangan ekonomi China susulan cuti Tahun Baharu Cina yang berlangsung selama seminggu turut menyokong sentimen pasaran.

"Tumpuan (juga) beralih kepada tanah besar China selepas cuti Tahun Baharu Cina selama seminggu yang biasanya merangsang ekonomi apabila pasaran dibuka semula pada Selasa," katanya.

Namun, potensi kenaikan selanjutnya terhad oleh pengukuhan ringgit dan harga minyak mentah penanda aras yang lebih rendah di tengah-tengah ketidaktentuan berterusan mengenai dasar perdagangan AS.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 meningkat lapan sen kepada 770.50 sen sekilogram manakala lateks pukal menambah 6.5 sen kepada 592 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan