Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Momentum pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berterusan sehingga akhir urus niaga Isnin, bertahan pada paras 3.88 susulan tindakan Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar dasar tarif Presiden Donald Trump pada Jumaat lepas.
Pada 6 petang, ringgit mengukuh pada 3.8885/8925 berbanding dolar AS berbanding paras penutup Jumaat lepas pada 3.8995/9055.
Sewaktu sesi awal hari ini, ringgit mencecah paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada 3.8835/9065 yang kali terakhir dicatatkan pada 2 Feb, 2018.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit terbukti mengekalkan prestasi kukuh susulan perkembangan terbaharu membabitkan dasar tarif AS.
“Perkembangan itu adalah sesuatu yang melegakan bagi ekonomi global walaupun (pada masa sama) pentadbiran Trump terus mempertahankan pendirian berkaitan dasar perlindungannya,” katanya kepada Bernama.
Mata wang USD/MYR pada masa ini bergerak dalam julat pada tahap sokongan teknikal pada RM3.8722 selepas berjaya melepasi paras psikologi pada RM3.9000 berbanding dolar AS.
Pada 20 Feb, 2026, Mahkamah Agung AS membuat keputusan mengetepikan tarif berasaskan Akta Kuasa Darurat Ekonomi Antarabangsa (IEEPA) Trump, termasuk tarif timbal balas yang dilaksanakannya.
Trump kemudiannya mengumumkan rancangan menaikkan tarif global kepada 15 peratus daripada 10 peratus pada Sabtu susulan keputusan mahkamah yang membatalkan sebahagia besar daripada langkah perdagangan sebelum ini.
Selain itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama pada akhir urus niaga hari ini, termasuk rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5120/5147 daripada 2.5092/5132.
Berbanding euro, ringgit susut nilai kepada 4.5888/5935 daripada 4.5882/5952 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.2526/2580 daripada 5.2511/2591 sebelum ini.
Prestasi ringgit juga rendah berbanding mata wang negara anggota ASEAN.
Ringgit susut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.0727/0761 daripada 3.0724/0774 sebelum ini, rendah berbanding baht Thailand kepada 12.5342/5532 daripada 12.4952/5216, merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 231.4/231.7 daripada 230.8/231.3 dan turun berbanding peso Filipina kepada 6.75/6.76 daripada 6.70/6.72 sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial