PASARAN > BERITA

RINGGIT DIBUKA TINGGI BERBANDING DOLAR AS, MATA WANG UTAMA DAN SERANTAU

27/02/2026 09:21 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Ringgit dibuka sedikit kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada Jumaat, disokong oleh penurunan hasil Perbendaharaan AS serta pelarasan kedudukan awal sesi dagangan Asia, walaupun Indeks Dolar AS (DXY) ditutup tinggi sedikit.

Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 3.8800/8930 berbanding dolar AS daripada 3.8865/8925 ketika ditutup pada Khamis.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata dolar AS mendapat sokongan sederhana susulan data pasaran buruh AS yang sedikit kukuh.

Data itu menunjukkan tuntutan awal pengangguran mingguan mencatat 212,000, lebih rendah daripada jangkaan konsensus 217,000, namun sedikit tinggi berbanding 208,000 pada minggu sebelumnya.

“Penurunan hasil bon AS mengurangkan sokongan jangka pendek terhadap dolar, sekali gus membolehkan beberapa mata wang Asia terpilih termasuk ringgit dibuka lebih kukuh,” katanya kepada Bernama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid yang turut sependapat berkata DXY meningkat sedikit sebanyak 0.09 peratus kepada 97.791 mata, manakala minyak mentah Brent stabil sekitar US$70.75 setong susulan perkembangan positif rundingan antara AS dan Iran di Geneva.

“Rundingan AS-Iran dilihat menunjukkan kemajuan, namun masih terdapat keraguan kerana tiada bukti jelas bahawa kedua-dua pihak bersedia berkompromi secukupnya bagi mengelakkan konflik ketenteraan.

“Kami berpendapat peniaga mungkin lebih berhati-hati memandangkan berita baik tersebut telah pun diambil kira dalam harga pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan gandingan dolar AS-ringgit bergerak dalam julat kecil hari ini.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4893/4978 daripada 2.4902/4942 ketika ditutup pada Khamis, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2345/2520 daripada 5.2573/2654, dan naik berbanding euro kepada 4.5796/5949 daripada 4.5853/5924 sebelum ini.

Mata wang tempatan itu turut kukuh berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0701/0809 daripada 3.0755/0805 semalam, naik berbanding baht Thailand kepada 12.4759/5269 daripada 12.5169/5435, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 231.5/232.3 daripada 231.9/232.3, serta mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.73/6.76 daripada 6.74/6.76 sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan