PASARAN > BERITA

INDEKS UTAMA BURSA MALAYSIA MENOKOK 4.19 MATA DALAM DAGANGAN TENGAH HARI

06/03/2026 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi hari ini dengan sentimen berhati-hati berikutan kebimbangan global membabitkan kenaikan kos tenaga dan risiko inflasi susulan konflik Timur Tengah yang meruncing.

Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.19 mata atau 0.24 peratus kepada 1,717.39 daripada paras penutup 1,713.20, semalam.  

Indeks utama itu dibuka susut 0.6 mata pada 1,712.60 dan bergerak dalam julat 1,708.48 hingga 1,719.12 sepanjang sesi dagangan pagi ini.

Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 686 berbanding 291 manakala 450 kaunter tidak berubah, 1,195 tidak diniagakan dan 22 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.99 bilion unit bernilai RM1.75 bilion.

Dalam pada itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangkakan pasaran kekal tidak menentu berikutan persekitaran makroekonomi yang goyah selepas konflik di Timur Tengah semakin meruncing dan mendorong kenaikan kos tenaga, risiko inflasi dan menjejaskan laluan minyak strategik di Selat Hormuz.

“Susulan keadaan geopolitik yang dinamik ini, terutama skala ketidakpastian dan tempoh konflik, kami mengekalkan pendirian  bertaham dengan memilih sektor yang menumpukan domestik serta berdaya tahan dari segi keuntungan yang jelas,” menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM11.72, Press Metal menokok tiga sen kepada RM7.68, Public Bank sebaliknya susut dua sen kepada RM4.88, CIMB turun tiga sen kepada RM8.01 dan TNB rugi 10 sen kepada RM14.22.

Bagi kaunter paling aktif, Lotte Chemical menokok 13 sen kepada 47 sen, Velesto naik satu sen kepada 33 sen, Zetrix AI meningkat setengah sen kepada 78.5 sen, Pegasus Heights kekal pada setengah sen dan AirAsia X turun 14 sen kepada RM1.28.

Kaunter paling untung, Petronas Chemicals melonjak 69 sen kepada RM4.20, MISC naik 56 sen kepada RM8.80, Kuala Lumpur Kepong meraih 30 sen kepada RM19.02 dan PPB meningkat 18 sen kepada RM11.08.

Sebaliknya, kaunter paling rugi didahului Nestle yang merosot 90 sen kepada RM107.20, Allianz Malaysia rugi 48 sen kepada RM20.90, Hong Leong Industries susut 38 sen kepada RM17.20 dan Malayan Cement  turun 28 sen kepada RM8.05.

Di papan indeks pula, Indeks FBMT100 menokok 3.55 mata kepada 12,358.44 manakala Indeks FBM Emas meningkat 0.31 mata kepada 12,517.64 dan Indeks FBM70 menguncup 115.33 mata kepada 17,072.15.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 15.02 mata kepada 12,188.77 dan Indeks FBM ACE turun 119.58 mata kepada 4,376.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 54.88 mata kepada 20,797.88 manakala Indeks Perladangan meningkat 30.11 mata kepada 8,217.01, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 3.02 mata kepada 177.18 dan Indeks Tenaga menokok 10.54 mata kepada 795.48.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan