PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI SUSULAN PEMULIHAN WALL STREET SOKONG SENTIMEN PASARAN

10/03/2026 10:18 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa, menjejaki pemulihan di Wall Street selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi bayangan bahawa konflik dengan Iran mungkin berakhir tidak lama lagi.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 13.81 mata atau 0.82 peratus kepada 1,687.98 daripada 1,674.17 ketika ditutup pada Isnin. 

Indeks penanda aras itu dibuka 10.68 mata lebih tinggi pada 1,684.85.

Sentimen pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 323 berbanding 121. Sebanyak 172 kaunter tidak berubah, 2,038 tidak diniagakan dan 19 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 215.45 juta saham bernilai RM166.01 juta.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata Wall Street mengalami sesi dagangan yang tidak menentu dengan ketiga-tiga indeks utama ditutup lebih tinggi selepas penurunan mendadak pada awal dagangan.

“Sentimen pasaran bertukar positif selepas kenyataan Trump bahawa perang dengan Iran akan berakhir tidak lama lagi, dengan harga minyak mentah Brent ditutup sekitar US$99 setong,” katanya kepada Bernama.

Harga minyak mentah Brent kini susut 9.36 peratus kepada US$89.90 setong.

Yee berkata pasaran Asia mengalami penjualan besar-besaran serantau semalam apabila lonjakan harga minyak mentah menggugat sentimen pelaburan.

“Memandangkan keyakinan pasaran telah terjejas dengan ketara, kami menjangkakan aktiviti pembelian pada harga murah di bursa tempatan mungkin tidak berlaku buat sementara waktu, berkemungkinan sehingga indeks menghampiri paras 1,650,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata sektor perladangan berpotensi mendapat manfaat daripada harga minyak mentah yang lebih tinggi, dengan minyak sawit mentah meningkat kepada sekitar RM4,160 satu tan.

“Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,665 hingga 1,680,” katanya. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 10 sen kepada RM11.56, Public Bank naik lapan sen kepada RM4.82, CIMB Group dan IHH Healthcare masing-masing menambah 13 sen kepada RM7.90 dan RM8.78, manakala Tenaga Nasional meningkat 20 sen kepada RM14.04.

Di senarai paling aktif, AirAsia X melonjak 19 sen kepada RM1.29 dan Capital A naik 3.5 sen kepada 44.5 sen, manakala Hibiscus Petroleum susut 31 sen kepada RM2.08, Velesto Energy turun 1.5 sen kepada 32.5 sen dan Bumi Armada merosot dua sen kepada 33 sen.

Sementara itu, kaunter untung utama termasuk Nestle, naik RM1.40 kepada RM104.00, Petronas Dagangan meningkat 54 sen kepada RM21.98, Malaysian Pacific Industries menambah 48 sen kepada RM29.52, Hong Leong Financial Group naik 30 sen kepada RM20.40 dan Hong Leong Industries meningkat 28 sen kepada RM16.98.

Kaunter rugi utama pula termasuk Hengyuan Refining yang turun 34 sen kepada RM1.56, Petron Malaysia susut 33 sen kepada RM4.50, Hibiscus Petroleum turun 31 sen kepada RM2.08, Petronas Chemicals merosot 29 sen kepada RM3.86 dan Dialog Group susut 16 sen kepada RM1.90.

Di papan indeks, Indeks FBM T100 meningkat 103.80 mata kepada 12,168.07, Indeks FBM Emas naik 98.99 mata kepada 12,323.48, Indeks FBM 70 menokok 163.12 mata kepada 16,905.15, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 54.38 mata kepada 11,983.84 dan Indeks FBM ACE naik 35.75 mata kepada 4,242.48.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 228.41 mata kepada 20,499.75. Indeks Perladangan turun 16.10 mata kepada 8,423.90, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.72 mata kepada 170.75 dan Indeks Tenaga merosot 31.97 mata kepada 774.77.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan