PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP RENDAH BERIKUTAN PENYUSUTAN MINYAK MENTAH

10/03/2026 09:55 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengatasi peningkatan awalnya untuk ditutup rendah pada Selasa.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata harga minyak mentah yang menyusut mendadak menjejaskan sentimen pasaran.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent merosot 5.76 peratus kepada US$93.37 setong.

“Sehubungan itu, kami melihat paras sokongan harga melebihi RM4,350 satu tan dan paras rintangan pada RM4,550 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata harga MSM mencatat penurunan ketara berikutan aktiviti pengambilan untung selari dengan penyusutan harga keseluruhan pasaran minyak sayuran.

Niaga hadapan kacang soya dilaporkan ditutup rendah pada Selasa di Bursa Komoditi Dalian, dengan kontrak paling aktif bagi Mei 2026 susut 83 yuan (kira-kira US$12.03) untuk ditutup kepada 4,749 yuan satu tan.

Sementara itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memaklumkan stok minyak sawit negara menyusut 3.94 peratus atau 111,062 tan kepada 2.7 juta tan pada Februari 2026 berbanding 2.82 juta tan pada Januari 2026.

Dalam laporan prestasi industri Februari, MPOB berkata stok MSM berkurangan 11.67 peratus atau 195,242 tan pada Februari kepada 1.48 juta tan berbanding 1.67 juta tan pada Januari.

“Eksport minyak sawit berkurangan 22.48 peratus pada Februari 2026 kepada 1.13 juta tan daripada 1.45 juta tan sebulan sebelumnya manakala pengeluaran MSM rendah 18.55 peratus atau 292,534 tan kepada 1.28 juta tan daripada 1.58 juta tan pada bulan sebelumnya,” katanya.

Pada penutupan dagangan, kontrak Mac 2026 dan April 2026 masing-masing susut RM142 kepada RM4,312 dan RM4,398 satu tan. Kontrak Mei 2026 turun RM139 kepada RM4,428 satu tan.

Kontrak Jun 2026 merosot RM131 kepada RM4,428 satu tan, Julai 2026 rendah RM123 kepada RM4,412 satu tan manakala Ogos 2026 berkurangan RM118 kepada RM4,384 satu tan.

Jumlah dagangan merosot kepada 147,182 lot daripada 220,402 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka susut kepada 226,797 kontrak berbanding 237,662 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan menyusut RM130 kepada RM4,370 satu tan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan