PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH APABILA HARAPAN TERHADAP KEREDAAN KONFLIK ASIA BARAT PUDAR

24/03/2026 07:40 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Selasa susulan minat risiko berkurangan apabila harapan terhadap keredaan konflik Asia Barat semakin pudar sekali gus menjejaskan sentimen.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.95 mata atau 0.69 peratus kepada 1,708.76 daripada 1,720.71 ketika ditutup pada Khamis minggu lepas.

Penanda aras pasaran dibuka 11.38 mata lebih tinggi kepada 1,732.09 dan bergerak dalam julat antara 1,704.06 hingga 1,732.09 sepanjang dagangan hari ini.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 968 berbanding 284 manakala 399 kaunter tidak berubah, 1,114 kaunter tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 3.35 bilion unit bernilai RM4.03 bilion daripada 3.36 bilion unit bernilai RM4.96 bilion pada Khamis lepas.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI dibuka lebih tinggi pada awal dagangan, menjejaki kenaikan semalaman di Wall Street selepas Presiden AS Donald Trump memberi isyarat kemungkinan terdapat kemajuan di Asia Barat.

“Bagaimanapun, optimisme awal itu tidak bertahan lama apabila Tehran menolak kemungkinan rundingan itu sebagai ‘berita palsu’ dan menafikan sebarang perbincangan telah diadakan, sementara laporan menunjukkan kemungkinan penglibatan pihak serantau dan negara Teluk.

“Ini meningkatkan ketidaktentuan pasaran dan mendorong pelabur lebih mengekalkan pendirian hindar risiko sekali gus menyebabkan indeks rendah selepas mencatatkan kenaikan awal,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata walaupun ekuiti AS mencatatkan pemulihan singkat semalaman susulan pengumuman Trump untuk menangguhkan serangan ketenteraan yang dirancang ke atas Iran, dengan alasan sebagai usaha untuk menstabilkan harga minyak namun kenaikan itu kembali hambar dengan cepat.

“Minyak mentah Brent kekal tinggi melebihi US$100 setong, sekali gus terus menekan sentimen. Dagangan yang dipacu laporan terus mendominasi hala tuju pasaran, dengan niaga hadapan S&P 500 kembali turun selepas penutupan. Turun naik ketara dijangka berterusan apabila pasaran Asia dibuka kenbali,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata dalam melangkah ke hadapan, hala tuju pasaran akan kekal sensitif terhadap pergerakan harga minyak mentah dan perkembangan geopolitik.

“Pelabur dijangka beralih kepada sektor berkaitan komoditi dan sektor bersifat defensif seperti perladangan dan tenaga, di samping mengurangkan pendedahan kepada saham pertumbuhan berisiko tinggi.

“Memandangkan turun naik ketara pasaran lebih tinggi, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,690 hingga 1,730 bagi minggu ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 26 sen kepada RM11.34, Public Bank turun 1.0 sen kepada RM4.86, CIMB susut 4.0 sen kepada RM7.83, Tenaga Nasional kurang 2.0 sen kepada RM14.28, dan IHH Healthcare menguncup 5.0 sen kepada RM8.98.

Antara saham paling aktif, Sunway Healthcare meningkat 10.0 sen kepada RM2.00, Borneo Oil susut setengah sen kepada setengah sen, Zetrix AI merosot 5.0 sen kepada 73.5 sen, Capital A kurang 1.5 sen kepada 40.5 sen, dan AirAsia X turun 6.0 sen kepada RM1.17.

Antara kaunter paling untung, Petronas Gas melonjak M1.06 kepada RM17.86, Fraser & Neave meningkat 42 sen kepada RM29.72, Petronas Chemicals bertambah 32 sen kepada RM5.80, Dutch Lady Milk Industries naik 28 sen kepada RM31.98, dan Master-Pack menokok 10 sen kepada RM1.75.

Bagi kaunter paling rugi, Nestle susut RM1.96 kepada RM98.44, United Plantations kurang RM1.00 kepada RM33.82, Hong Leong Financial merosot 70 sen kepada RM19.30, Allianz Malaysia turun 64 sen kepada RM20.68, dan Malaysian Pacific Industries menguncup 52 sen kepada RM29.08.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 105.12 mata kepada 12,283.67, Indeks FBM Emas turun 116.99 mata kepada 12,421.81, Indeks FBM 70 merosot 230.72 mata kepada 16,912.26, Indeks FBM Emas Syariah kurang 95.68 mata kepada 12,171.62, dan Indeks FBM ACE kurang 84.36 mata kepada 4,319.93.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 298.18 mata kepada 20,380.94, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.51 mata kepada 180.65, Indeks Tenaga tutun 5.81 mata kepada 788.0, dan Indeks Perladangan merosot 50.43 mata kepada 8,638.47.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.22 bilion unit bernilai RM3.82 bilion daripada 2.09 bilion unit bernilai RM4.74 bilion pada Khamis lepas.

Jumlah dagangan waran turun kepada 872.86 juta unit bernilai RM120.07 juta daripada 1.02 bilion unit bernilai RM129.59 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 260.98 juta unit bernilai RM82.34 juta daripada 245.39 juta unit bernilai RM91.69 juta pada Khamis lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 320.33 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (517.79 juta), pembinaan (155.27 juta), teknologi (210.43 juta), perkhidmatan kewangan (125.92 juta), hartanah (181.98 juta), perladangan (34.88 juta), amanah pelaburan hartanah (140.45 juta), dana tertutup (228,200), tenaga (194.31 juta), penjagaan kesihatan (219.19 juta), telekomunikasi dan media (40.59 juta), pengangkutan dan logistik (39.70 juta), utiliti (34.93 juta), serta amanah perniagaan (231,300).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan