KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Dagangan Bursa Malaysia bercampur-campur pada tengah hari ini, menjejaki prestasi pasaran serantau di tengah-tengah ketidaktentuan konflik yang berlanjutan selain diasak tekanan harga minyak.
Namun, pasaran tempatan terus menerima sokongan meluas yang didahului oleh sektor perbankan, penjagaan kesihatan serta pembinaan.
Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.30 mata atau 0.25 peratus kepada 1,713.06 daripada 1,708.76, semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka menokok 13.74 mata pada 1,722.50 dan bergerak dalam julat 1,711.90 hingga 1,725.93 sepanjang sesi dagangan pagi.
Sentimen pasaran kurang memberangsangkan apabila kaunter rugi mengatasi untung iaitu 445 berbanding 436 manakala 483 kaunter tidak berubah, 1,382 tidak diniagakan dan 24 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan mencecah 1.67 bilion unit bernilai RM1.43 bilion.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan persekitaran mengelak risiko akan berterusan di pasaran tempatan yang berkemungkinan memihak kepada kaunter tenaga dan kimia.
“Jika Iran meneruskan penutupan Selat Hormuz, (pengendali) laluan perkapalan boleh mengenakan kadar semasa lebih tinggi serta memindahkan premium risiko perang kepada penyewa,” menurut nota penyelidikan firma pembrokeran itu.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Press Metal naik 22 sen kepada RM7.53, Maybank dan Sunway Healthcare masing-masing menokok 10 sen kepada RM11.44 dan RM2.10 manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.28 dan Telekom Malaysia rugi satu sen kepada RM7.31.
Bagi kaunter paling aktif, Zetrix AI turun satu sen kepada 72.5 sen, Borneo Oil dan GDB masing-masing tidak berubah pada setengah sen dan 37.5 sen, AirAsia X naik enam sen kepada RM1.23 dan Tanco meraih tiga sen kepada RM1.44.
Kaunter paling untung didahului Hong Leong Financial yang naik 28 sen kepada RM19.58, Hong Leong Industries meningkat 24 sen kepada RM17.06, UMS Integration menambah 22 sen kepada RM4.82 dan Sunway Construction menokok 15 sen kepada RM6.60.
Sebaliknya, kaunter paling rugi menyaksikan United Plantations susut 32 sen kepada RM33.50, Nestle turun 24 sen kepada RM98.20, Kuala Lumpur Kepong rugi 20 sen kepada RM19.62 dan PPB merosot 16 sen kepada RM11.34.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Top 100 naik 29.30 mata kepada 12,312.97, Indeks FBM Emas Shariah meraih 7.14 mata kepada 12,1178.76 dan Indeks FBM Emas melonjak 30.08 mata kepada 12,451.89.
Indeks FBM 70 Index mengukuh 33.05 mata kepada 16,945.31 manakala Indeks FBM ACE naik 20.87 mata kepada 4,340.80.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.28 mata kepada 180.93, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 137.51 mata kepada 20,518.45 namun Indeks Perladangan merosot 72.25 mata kepada 8,566.22 dan Indeks Tenaga susut 4.67 mata kepada 783.33.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial