POLITIK > BERITA

PRK DUN MAHKOTA: SURAT LAYANG TIDAK BERI KESAN KEPADA CALON BN - AHMAD ZAHID

23/09/2024 06:18 PM

PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) -- Penyebaran surat layang yang mendesak pengundi Cina supaya tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Sabtu ini tidak memberi kesan kepada calon Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata seluruh jentera membabitkan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan bertungkus lumus untuk memastikan semua pengundi keluar menunaikan kewajipan mereka pada 28 Sept ini.

"Semalam, perkara itu dibawa oleh Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) kepada saya sebab saya berada di DUN Mahkota.

"Didapati ia (penyebaran surat layang) tidak ada pengaruh dan tidak mempengaruhi pengundi Cina," kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara serta sesi libat urus 66 syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta bersama 12 kementerian di sini hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata beberapa usaha dilakukan bersama parti komponen untuk memastikan pengundi terutama golongan Cina keluar mengundi agar peristiwa semasa PRK DUN Sungai Bakap tidak berulang.

Beliau berkata ini kerana terdapat pengundi tinggal di luar DUN Mahkota iaitu di DUN Mengkibol atau di luar daerah Kluang malah ramai yang bekerja di Johor atau Singapura.

Pada 21 Sept lepas, Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi daripada DAP mendakwa terdapat perbuatan memasukkan surat layang ke dalam peti surat bagi meminta pengundi Cina menolak calon UMNO iaitu Syed Hussien Syed Abdullah.

Wong mendakwa surat itu ditulis dalam Bahasa Cina dan bertajuk Seruan kepada pengundi dalam pilihan raya kecil Mahkota: Kami harap untuk melihat layanan adil untuk semua rakyat di Johor.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan