POLITIK > BERITA

SYED HUSSIEN BERTEKAD BANTU DAN BANGUNKAN SATU-SATUNYA KAMPUNG ORANG ASLI DI MAHKOTA

25/09/2024 07:20 PM

KLUANG, 25 Sept (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah bertekad untuk menyambung usaha wakil rakyat gabungan politik itu sebelum ini iaitu membantu kaum Orang Asli di Kampung Tanah Runtuh di sini. 

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu berkata usaha wakil rakyat BN telah membolehkan penduduk Orang Asli di kawasan itu menikmati pelbagai kemudahan dan kelengkapan serta tidak ketinggalan daripada perhatian agensi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri. 

“Kampung Tanah Runtuh merupakan satu-satunya kampung diduduki Orang Asli di Mahkota dan mereka memang mendapat perhatian kerajaan namun ada beberapa perkara yang perlu diselenggara seperti sistem perparitan. 

“Alhamdulillah, saya disambut dengan penuh mesra di sini, hasil perjuangan terdahulu yang banyak menabur jasa dan bakti kepada mereka. Saya akan meneruskan legasi dan usaha baik yang telah dimulakan untuk rakyat Mahkota," katanya.

Syed Hussien berkata demikian kepada pemberita selepas berjumpa dengan penduduk  Kampung Tanah Runtuh di sini hari ini, yang mempunyai kira-kira 200 pengundi DUN Mahkota.  

Sementara itu, Tok Batin Mohd Noorsham Abdullah, 49, berharap wakil rakyat selepas ini dapat membantu membersihkan longkang di kampung tersebut yang dipenuhi tanah akibat hujan serta melebarkan jalan masuk yang berselekoh dan sempit kerana ia boleh membahayakan penduduk. 

Murni Yasin, 39, pula berharap kampung itu akan mendapat sebuah dewan serba guna untuk kemudahan penduduk dan taman permainan bagi membolehkan kanak-kanak beriadah.

"Budak-budak di sini bermain di depan rumah sahaja disebabkan tiada padang permainan atau padang bola. Jadi saya harap mereka boleh dapat kemudahan yang baik," kata suri rumah itu.

PRK DUN Mahkota pada Sabtu ini menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien dengan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar. 

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, daripada BN pada 2 Ogos lepas. 

DUN Mahkota mula dipertanding pada 2004 dan setakat ini, telah melalui lima pilihan raya dengan empat daripadanya dimenangi BN. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan