POLITIK > BERITA

ANWAR MAHU PEMILIHAN PKR DISEGERAKAN, TIDAK PERLU DITANGGUH

27/10/2024 07:26 PM

IPOH, 27 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan supaya pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) disegerakan.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata pemilihan yang dipercepatkan akan membuka ruang kerjasama antara tenaga muda dan pemimpin lama untuk berganding bahu menguruskan parti dengan lebih efektif.

Anwar berkata keputusan untuk tidak menangguhkan pemilihan diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik parti semalam, memandangkan penangguhan tidak diperlukan kerana tarikh jangkaan untuk Pilihan Raya Umum ke-16 masih jauh.

“Ada keperluan membina generasi dalam kalangan angkatan muda, wanita. Mereka mesti diberi lebih ruang, cabang-cabang juga begitu, jadi kita harus melihat kemungkinan menyegerakan pemilihan parti.

“.. tetapi tidak dengan cara dahulu, hiruk pikuk dan kacau bilau. Kena ikut peraturan, jadi kita sedang kaji (mekanisme pemilihan),” katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis perasmian Konvensyen Keadilan Perak di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Pengerusi PKR Perak Mohamad Hairul Amir Sabri.

Sebelum ini Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata terdapat perbincangan serta pandangan dikemukakan mengenai penangguhan pemilihan dibuat selepas PRU16 dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Bagaimanapun Fuziah berkata ia hanya perbincangan dan tiada keputusan tuntas dicapai.

Sementara itu Anwar berkata mesyuarat semalam turut memutuskan bahawa kerjasama bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan harus diteruskan, malah lebih akrab lagi terutama di Semenanjung Malaysia.

Menyentuh mengenai pemerkasaan parti, Anwar berkata asas PKR sebagai parti yang membela nasib rakyat mesti dipertahankan. 

“Malah saya tegur menteri-menteri, ya betul tugas utama di kementerian, tetapi jangan lupa tidak seorang pun (menteri) diangkat kalau tiada kekuatan asas dari parti yang mendukung kita, jadi tangggungjawab turun ke bawah gilap semangat mereka (rakyat),” katanya.

Anwar turut menambah bahawa pengalaman melihat pemimpin yang tamak dan hilang sabar akibat perebutan harta dan jawatan harus dijadikan pengajaran.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan