POLITIK > BERITA

FORMULA KERAJAAN PERPADUAN JADI ASAS KERJASAMA BN-PH DALAM PRN17 SABAH

12/11/2024 11:57 PM

SHAH ALAM, 12 Nov (Bernama) --Formula kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan menjadi asas rujukan kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Sabah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan datang.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata formula tersebut menjadi salah satu perkara utama yang diberi perhatian oleh kedua-dua parti dalam pertemuan yang diadakan baru-baru ini.

“Baru-baru ini, BN Sabah telah mengadakan perjumpaan dengan PH Sabah dan hasilnya agak positif bagi kita untuk bekerjasama dalam PRN kerana kita mempunyai asas atau underline ‘interest’ bersama untuk mengekalkan formula Kerajaan Perpaduan yang sedia ada.

"Ini kerana telah terbukti bahawa, pertama, negara kita, khususnya rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil. Rakyat juga sudah muak dengan ketidakstabilan politik yang pernah kita alami dalam penggal lalu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Jabatan Pertanian 2024 di sini hari ini.

Arthur berkata demikian ketika mengulas perkembangan perbincangan kerjasama antara BN dan PH Sabah dalam menghadapi PRN17.

BN dan PH Sabah pada 5 Nov lalu bersetuju mewujudkan ruang komunikasi bagi memperkukuh gerak kerja bersama termasuk membuka peluang menjalin hubungan dengan parti lain sebagai persediaan menghadapi PRN Sabah ke-17.

Kedua-dua parti dalam kenyataan bersama memaklumkan bahawa perkara  itu dibincangkan dalam pertemuan tidak rasmi di sini, hari ini dengan kedua-dua pihak berkongsi aspirasi untuk memastikan asas kerjasama itu memberikan manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah.

Pertemuan tersebut juga bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan selaras dengan persefahaman antara pucuk pimpinan kedua-dua parti iaitu Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan