KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Tiga anggota polis yang dikesan melakukan aktiviti salah laku dengan mengunjungi pusat hiburan di Golok, Thailand akan ditukarkan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata ketiga-tiga anggota yang masing-masing berpangkat Sarjan Mejar, Koperal dan Lans Koperal berumur 26 hingga 32 tahun itu disiasat oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Razarudin berkata seorang daripada mereka telah ditukarkan daripada Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Pasir Mas ke Kem Komandan IPK Kelantan manakala dua lagi masih bertugas di Ibu Pejabat Polis Tanah Merah dan akan ditukar keluar dari Kontinjen Kelantan.
“Pada 10 Nov lepas, pihak JIPS IPK Kelantan telah menerima beberapa keping gambar dan video berhubung aktiviti salah laku anggota polis yang disyaki mengunjungi dan berhibur di pusat hiburan di Golok menggunakan laluan pangkalan haram, selain dipercayai mempunyai hubungan dengan ceti haram.
“Aktiviti mengunjungi pusat hiburan ini dipercayai berlaku sejak awal tahun ini dan pusat hiburan yang kerap dikunjungi ialah kelab 616, kelab Joker, kelab Alison, kelab Kepak dan kelab Perfect,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Razarudin berkata siasatan pihak JIPS IPK Kelantan dalam proses untuk penentuan prosiding oleh Pihak Berkuasa Tatatertib Kelantan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial