POLITIK > BERITA

PBB TEGUH SEBAGAI PARTI YANG INKLUSIF DAN UTAMAKAN KEHARMONIAN KAUM

11/01/2025 05:23 PM

SIBU, 11 Jan (Bernama) -- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tetap teguh sebagai sebuah parti yang inklusif, mengutamakan keharmonian antara kaum dan memastikan tiada pihak yang tertinggal dalam arus pembangunan.

Setiausaha Agung PBB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata parti itu menjadi asas yang kukuh kepada kestabilan politik dan sosial di Sarawak walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan perubahan suhu dan iklim politik.

Walau bagaimanapun, beliau berkata sebagai sebuah parti yang mendalami nilai-nilai perpaduan dan keharmonian, ia tidak boleh leka dengan pencapaian yang telah ada.

“Kita perlu sentiasa melihat ke depan dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks dan mencabar,” katanya semasa perasmian Persidangan Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah oleh Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Stadium Tertutup Sibu hari ini.

Dalam konteks itu, Nanta berkata generasi muda perlu memainkan peranan penting dalam membawa perubahan dan kelangsungan perjuangan PBB.

 

“Generasi muda adalah pemimpin masa depan dan kehadiran mereka dalam PBB memberi harapan baru kepada parti ini dan Sarawak secara keseluruhannya.

“Mereka bukan sahaja mewarisi legasi perjuangan, tetapi juga menjadi peneraju dalam mengembangkan visi dan strategi baru untuk memajukan Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya menekankan generasi muda PBB harus menjadi agen perubahan, penggerak inovasi serta pembawa idea segar untuk memastikan Sarawak sentiasa berada di landasan yang betul dalam pembangunan ekonomi, sosial dan politik.

Melalui program-program keusahawanan, pendidikan dan teknologi, generasi muda PBB berperanan penting dalam memastikan Sarawak bukan sahaja terus relevan dalam konteks global tetapi juga berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Beliau turut menggesa ahli-ahli PBB untuk mendukung dan memperkasa kepimpinan Abang Johari dengan penuh komitmen.

“Parti kita adalah pendorong utama bagi kejayaan segala dasar dan strategi yang telah digariskan oleh kerajaan negeri. Kita semua harus berganding bahu untuk memastikan setiap rancangan pembangunan Sarawak Maju Makmur 2030 dapat mencapai matlamatnya,” katanya.

Beliau menambah, kejayaan itu tidak akan tercapai tanpa semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan ahli-ahli PBB tanpa mengira peringkat atau latar belakang dan mereka harus memainkan peranan aktif dalam membantu merealisasikan aspirasi besar berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan