POLITIK > BERITA

NIK NAZMI UMUM PERTAHAN JAWATAN NAIB PRESIDEN PKR, KETUA CABANG SETIAWANGSA

02/03/2025 12:21 AM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Nik Nazmi Nik Ahmad malam ini mengumumkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR dan Ketua Cabang Setiawangsa dalam pemilihan parti itu yang dijadual pada 24 Mei.  

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata ketetapan itu diumumkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PKR cabang Setiawangsa, hari ini.

Mesyuarat itu juga sebulat suara memutuskan untuk menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan jawatan sebagai Presiden dan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden parti.

“Dalam kita meraikan demokrasi dalaman yang matang, kita juga perlu memastikan bahawa persaingan ini berlangsung dengan penuh adab, semangat setia kawan dan fokus kepada agenda besar mengukuhkan PKR sebagai sebuah parti masa depan yang terus relevan dalam perjuangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu video yang dimuat naik di akaun TikTok hari ini. 

Semalam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari turut mengesahkan akan mempertahankan jawatan naib presiden PKR pada pemilihan parti itu.

Sementara itu, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin sebelum ini dilapor berkata jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR mungkin tidak dipertandingkan berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman.

Anwar yang menyandang jawatan presiden PKR bagi penggal ketiga dan terakhir berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada PKR untuk membuat keputusan.

Pemilihan majlis pimpinan pusat, majlis pimpinan wanita pusat dan majlis pimpinan pemuda pusat akan diadakan pada 24 Mei. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan