POLITIK > BERITA

PRK DUN AYER KUNING: LIPAT GANDA USAHA MENANGKAN CALON BN - SAARANI

03/03/2025 07:53 PM

TAPAH, 3 Mac (Bernama) -- Setiap parti komponen Barisan Nasional (BN), Friends of BN dan Pakatan Harapan (PH) diminta melipatgandakan usaha dalam memberikan kemenangan kepada BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan datang.

Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata semua parti komponen juga diminta memberi tumpuan di kawasan masing-masing agar mudah meraih sokongan daripada pengundi.

"Hari ini saya bermesyuarat dengan pemimpin parti daripada Friends of BN yang kita ketahui mempunyai pengaruh besar ahli dan penyokong sendiri selain MCA dan MIC. 

"Esok kita akan berjumpa dengan pemimpin daripada komponen PH dan sekiranya kesemua parti mampu menarik sokongan penyokong mereka, maka saya cukup yakin BN akan menang besar," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa BN Tapah di sini hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Saarani berkata setakat ini gerak kerja BN dan PH atas nama Kerajaan Perpaduan berjalan dengan lancar, malah pembentukan kerjasama antara kepimpinan sangat kukuh. 

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata komponen BN akur dengan sebarang keputusan kepimpinan tertinggi untuk memastikan kerusi yang dimiliki gabungan itu dapat dikekalkan.

Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon yang senada dengan Saravanan berkata ahli BN diingatkan supaya berwaspada dengan gerak kerja musuh politik dan tidak memandang mudah cabaran pada PRK Ayer Kuning.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan PRK DUN Ayer Kuning pada Jumaat ini selepas berlaku kekosongan luar jangka kerusi susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas. 

Ishsam, 59, meninggal dunia disebabkan serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Nov 2022, Allahyarham yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi DUN berkenaan dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan