POLITIK > BERITA

CABANG PKR SABAH SOKONG JAWATAN PRESIDEN, TIMBALAN PRESIDEN TIDAK DIPERTANDINGKAN

09/03/2025 06:52 PM

KOTA KINABALU, 9 Mac (Bernama) -- Cabang-cabang PKR Sabah dalam mesyuarat sehingga semalam menyokong usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti pada Mei ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Datuk Mustafa Sakmud berkata langkah tersebut penting bagi mengelakkan pergeseran dalaman serta memastikan parti kekal utuh dalam menghadapi pelbagai cabaran mendatang.

Beliau menegaskan bahawa PKR tidak menafikan hak demokrasi dalam parti serta tidak menghalang mana-mana pihak daripada bertanding, namun beliau menyeru semua anggota mengutamakan kepentingan parti.

“Sebanyak 24 cabang telah bermesyuarat kecuali Beaufort yang kini berdepan bencana banjir. Usul yang diutarakan oleh pimpinan cabang antara lain menyatakan persetujuan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Kita berharap perkara ini dapat direalisasikan.

“Ketika ini, Presiden kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Perdana Menteri, manakala timbalannya Datuk Seri Rafizi Ramli ialah Menteri Ekonomi. Oleh itu, adalah lebih baik jika jawatan ini tidak dipertandingkan,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Mustafa berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Biro Politik PKR Sabah yang dipengerusikan Datuk Seri Christina Liew.

Sebelum ini, PKR memutuskan bahawa pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) akan dilaksanakan pada 24 Mei.

Pengerusi Biro Antarabangsa PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin sebelum ini dilaporkan berkata bahawa parti itu berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa Warisan akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri  (PRN) Sabah akan datang, Mustafa berkata PKR mempunyai pendekatan tersendiri.

“Sesiapa yang merasakan dirinya kuat, silakan bertanding secara solo dan kita akan lihat kesannya. Namun, secara logiknya dalam konteks politik negara mahupun negeri ini, kita tidak boleh mengetepikan rakan kerjasama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan