POLITIK > BERITA

AMH LANCAR JENTERA PRK DUN AYER KUNING ESOK, FOKUS PERPADUAN, KESTABILAN POLITIK

10/04/2025 11:46 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Angkatan Muda Harapan (AMH) akan melancarkan jentera kempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning esok dengan fokus membantu calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya tersebut.

Ketua AMH Woo Kah Leong yang juga Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) berkata jentera AMH akan memberikan tumpuan untuk menterjemahkan kestabilan politik di bawah Kerajaan MADANI demi kesejahteraan rakyat Perak..

“Kita akan pastikan mesej yang disebarkan dapat mengukuhkan perpaduan dan janakan harapan. Kestabilan politik di negeri Perak telah terbukti, dan kita ingin mengekalkannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Raya DAPSY Bersama Media di sini hari ini.

Menurut Woo, pelancaran jentera AMH akan diadakan di Arena Square, Kampung Tanjung Keramat, Temoh di Perak dan dijangka dihadiri oleh Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dalam pada itu, Woo turut mengumumkan bahawa jentera AMH akan melibatkan setiap sayap pemuda daripada parti-parti gabungan PH dan mereka akan memanfaatkan platform media sosial untuk mendekati pengundi, terutama golongan belia di Ayer Kuning, selain menyebarkan mesej semangat perpaduan.

“Untuk pengundi muda yang tidak menetap di Ayer Kuning tetapi merupakan perantau, kita akan gunakan mesej perpaduan dan harapan untuk menyeru mereka pulang mengundi pada PRK ini,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 25 Feb lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, dengan penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan