POLITIK > BERITA

PEMILIHAN PKR 2025 HARUS BERLANGSUNG DALAM SEMANGAT KEKELUARGAAN, PENUH ETIKA - PM ANWAR

11/04/2025 12:24 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjunjung nilai etika dan semangat kekeluargaan dalam memilih barisan kepimpinan baharu pada pemilihan parti berkenaan bulan depan.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata proses Pemilihan PKR 2025 harus berlangsung dalam semangat kekeluargaan dan penuh etika serta menjauhi budaya memecahbelahkan.

“Seperti yang sering saya tegaskan - KEADILAN bukan sekadar parti politik, namun wadah perjuangan rakyat. Maka pilihlah kepimpinan yang berintegriti, amanah dan benar-benar membawa suara rakyat terbanyak.

“Insya-Allah, usaha dan ikhtiar kita akan dipermudahkan demi Malaysia yang lebih adil dan makmur untuk semua,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau pada masa sama turut mengucapkan selamat mengundi dan selamat maju jaya kepada semua calon serta ahli PKR dalam pemilihan parti kali ini.

Pada 26 Jan lepas, PKR dilaporkan memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan diadakan pada 24 Mei ini.

Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang pula ditetapkan pada 11 hingga 20 April.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan