POLITIK > BERITA

LEPASKAN TANGGUNGJAWAB SEBAGAI PEMEGANG AMANAH JIKA TIADA LAGI KAITAN DENGAN PARTI - AHMAD ZAHID

11/04/2025 05:51 PM

KUANTAN, 11 April (Bernama) -- Individu yang sudah tidak terlibat dengan parti wajar melepaskan tanggungjawab sebagai pemegang amanah dalam mana-mana organisasi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Presiden UMNO itu berkata pemindahan milik amanah sepatutnya dilakukan apabila individu terbabit tidak lagi berada di dalam parti atau memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

"Bila seseorang itu tidak lagi memegang jawatan dalam mana-mana organisasi, terutamanya organisasi politik yang telah mengamanahkannya untuk menjadi pemegang amanah, dia sepatutnya melepaskan (tanggungjawab pemegang amanah)," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Akademi Rel Pahang di Yayasan Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas tindakan UMNO memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan supaya sebidang tanah di ibu kota berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada parti.

Tanpa mendedahkan identiti, beliau turut memaklumkan terdapat seorang individu masih tidak menandatangani dokumen untuk melepaskan tanggungjawab sebagai pemegang amanah aset parti, semasa yang lain telah berbuat demikian.

Dalam saman itu UMNO memohon satu perintah bahawa pemilik geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftarkan atas nama pemegang-pemegang amanah iaitu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid dipindahkan kepada UMNO mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.

Ahmad Zahid berkata UMNO telah lama mengambil tindakan tersebut dan hanya kini diketengahkan media.

"Lama dah, kenyataan ini baru ditanya hari ini, jadi saya kena jawab,” katanya ketika ditanya mengapa baharu kini UMNO mengambil tindakan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan