JOHOR BAHRU, 13 April (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan dakwaan berlaku pergeseran dalaman antara Pemuda UMNO Bahagian Tapah dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai cubaan pihak lawan untuk menggugat keharmonian parti.
Beliau berkata pihaknya tidak mendengar sebarang isu berkaitan pergeseran itu, malah semua sayap parti sedang menggembleng tenaga bagi memastikan kemenangan calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir, yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah.
“Saya berada di sana (DUN Ayer Kuning), dan saya tidak dengar langsung isu boikot seperti yang didakwa. Ia sengaja dibangkitkan untuk memecahbelahkan keharmonian dalam parti. Semasa hari penamaan calon, saya lihat Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO semuanya hadir dan tiada sebarang masalah,” katanya.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri di Bandar Seri Alam, di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menafikan dakwaan berhubung pergeseran dalaman itu.
Sementara itu, Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pemilihan Dr Mohamad Yusri oleh kepimpinan parti adalah tepat kerana beliau merupakan calon terbaik untuk mewakili masyarakat di DUN berkenaan.
Justeru, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya memohon pengundi agar memilih calon yang mampu bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Persekutuan dalam membawa suara rakyat di kawasan tersebut.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri (BN), Abd Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial