POLITIK > BERITA

ANGGOTA PKR BOLEH KEMUKA ADUAN RASMI KE JPP - DR ZALIHA

17/04/2025 04:52 PM

PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Anggota PKR boleh membuat aduan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sekiranya mempunyai maklumat mengenai salah laku dan rasuah dalam pemilihan parti, kata Pengerusi JPP Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata setiap aduan diterima JPP akan diteliti dan diambil tindakan jika perlu.

"Saya kira perkara sebegini (salah laku dan rasuah) tidak seharusnya berlaku, sebab kita mahu dalam pemilihan pada kali ini atau pemilihan pada masa-masa bila pun, adalah untuk memilih pemimpin.

"Jadi seharusnya pemimpin itu kenalah daripada mereka yang ada tatakelola dan integriti baik, dan akhirnya memimpin negara dengan cara yang sebaiknya," katanya kepada media selepas Seminar Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) 2025, di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata beliau menyerahkan sebarang aduan yang diterima kepada jawatankuasa aduan dipimpin Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Biro Bantahan atau Aduan Datuk Ahmad Kassim untuk mengurus dan menelitinya.

Sebelum ini Ketua Cabang Shah Alam, Rodziah Ismail yang tewas kepada pencabarnya Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi, membangkitkan rasa curiga terhadap keputusan itu dan menyifatkannya sebagai 'pelik'.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan