POLITIK > BERITA

PRK AYER KUNING: AHMAD ZAHID PUAS HATI KERJASAMA JENTERA BN, PH SEPANJANG KEMPEN

26/04/2025 01:57 PM

BAGAN DATUK, 26 April (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpuas hati dengan kerjasama erat antara jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 14 hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Presiden UMNO itu berkata kesepakatan yang ditunjukkan sepanjang kempen PRK tersebut diterjemahkan dengan baik, sama seperti yang dilakukan pada PRK DUN Nenggiri, Kelantan, dan DUN Mahkota, Johor, sebelum ini yang membawa kepada kemenangan calon BN.

“Insya-Allah, kita akan berjaya mempertahankan kerusi itu (Ayer Kuning) dan saya doakan ustaz (Dr. Mohamad Yusri Bakir) akan berjaya…mudah-mudahan Allah merestui dan memakbulkan doa ini.

“(Bagaimanapun) kemenangan ini bergantung kepada peratusan pengundi yang akan keluar mengundi memandangkan ada dalam kalangan pengundi Melayu yang baru pulang dari kampung selepas Hari Raya, manakala pengundi Cina juga baru pulang dari perayaan Qingming,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Karnival RISDA MADANI (KARRISMA) Zon Utara Tahun 2025 di Dewan Dato' Mohamed Jamrah, Sungai Sumun, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Muhd Khair Razman  Mohamed Annuar, Pengerusi RISDA Manndzri Nasib dan Ketua Pengarah RISDA Zainal Azni Zulkifli.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut berharap agar jentera parti dapat membantu menggerakkan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

“Saya harap cuaca tidak hujan sehingga petang dan jentera dapat lakukan ‘get out the voters’…saya harap mereka keluar rumah (untuk mengundi),” katanya. 

Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 63 saluran telah dibuka serentak pada 8 pagi tadi bagi PRK DUN Ayer Kuning.

Proses pengundian hari ini melibatkan 31,281 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan