KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Meskipun dilaporkan sedang bercuti panjang, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli masih aktif menjawab isu-isu yang dimainkan pembangkang menerusi media sosial rasminya.
Dalam hantaran terbaharu di Facebook hari ini, Rafizi menjawab tuduhan pembangkang berhubung isu kutipan cukai oleh kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata dakwaan kononnya kerajaan Persekutuan menganaktirikan negeri-negeri pembangkang seperti Kelantan termasuk dalam soal pengagihan hasil kutipan cukai merupakan naratif berulang yang dimainkan oleh PAS dan Perikatan Nasional (PN) untuk membangkitkan sentimen antikerajaan.
“Satu cara berkempen yang digunakan oleh PAS dan PN yang cukup berkesan ialah menuduh kerajaan Persekutuan menganaktirikan mereka. Kononnya kutip cukai dari rakyat negeri-negeri yang ditadbir, contohnya Kelantan, tetapi tidak dikembalikan sebagai peruntukan untuk pembangunan.
“Teruknya kerajaan Persekutuan sehinggakan Ahli Parlimen Pasir Putih (Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh) mencabar agar PAS dibenarkan kutip sendiri cukai Kelantan yang kini dibayar kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.
Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR menjelaskan bahawa cukai yang dikutip kerajaan Persekutuan adalah berbentuk cukai perniagaan dan pendapatan individu atau cukai jualan yang berkait dengan kerancakan perniagaan.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan keupayaan kerajaan negeri Kelantan untuk mengutip sendiri cukai yang kini dikutip oleh kerajaan Persekutuan.
“Agak-agak, kalau Kelantan kutip cukai sendiri seperti yang diapi-apikan oleh PAS, adakah masalah pembangunan di Kelantan selesai? Stesen bas KB Sentral akan siap? Masalah air selesai?.
“Berapa sebenarnya anggaran kutipan cukai dari Kelantan, jika Kelantan mengutip sendiri cukai-cukai yang kini dikutip oleh kerajaan Persekutuan?,” soalnya.
Rafizi berkata jika kerajaan Kelantan tidak berjaya mewujudkan suasana perniagaan yang mesra pelaburan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan yang baik dan bergaji tinggi, belum tentu kerajaan negeri itu dapat membawa kesejahteraan kepada rakyat.
“...kalau pun mereka mengutip sendiri cukai-cukai di bawah bidang kuasa Persekutuan kerana cukai-cukai itu mungkin tidak mencukupi untuk menanggung keseluruhan belanja pembangunan di Kelantan yang kini ditampung oleh kerajaan Persekutuan.
“Sebab itu, lebih baik kita bersaing dengan kepakaran kita merancakkan ekonomi, bukannya bermain sentimen dengan mengapi-apikan konon kerajaan Persekutuan memangsakan negeri-negeri pembangkang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial