POLITIK > BERITA

NIK NAZMI AKUR KEPUTUSAN PEMILIHAN CABANG PKR

06/05/2025 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad akur dengan keputusan Pemilihan PKR 2025 peringkat Cabang yang disahkan dan dimuktamadkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada Ahad lepas.

Nik Nazmi yang gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa selepas tewas kepada pengarah dan pelakon Datuk Afdlin Shauki berkata beliau menggunakan saluran yang betul berhubung keputusan pemilihan itu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu sebelum ini dilaporkan menghantar surat bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung keputusan pemilihan Ketua Cabang Setiawangsa.

“Saya guna saluran parti dan apa-apa lagi saya akan ikut saluran parti juga,” katanya kepada pemberita selepas perasmian program Sustainaboleh dan Green Factory Experiential Concept Store di sini hari ini. 

Semalam, Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata keputusan Pemilihan PKR 2025 bagi semua 220 Cabang di seluruh negara yang selesai baru-baru ini telah disahkan dan dimuktamadkan MPP.

Beliau berkata MPP yang bermesyuarat pada Ahad berpuas hati dengan pembentangan JPP dan juruaudit digital antarabangsa mengenai keputusan peringkat Ahli Jawatankuasa, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan di kesemua Cabang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan