POLITIK > BERITA

237 PENCALONAN DITERIMA UNTUK PEMILIHAN PKR PUSAT - DR ZALIHA

09/05/2025 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Sebanyak 237 pencalonan telah diterima untuk pertandingan pelbagai jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR setakat tengah hari tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata proses pencalonan bagi pemilihan pucuk kepimpinan parti itu berjalan lancar.

“JPP masih lagi menerima permohonan daripada anggota yang berhasrat untuk bertanding jawatan-jawatan peringkat pusat termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Wanita Pusat,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Proses pencalonan yang bermula tengah hari semalam akan berakhir 11.59 malam ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan Presiden dan telah menghantar pencalonannya petang ini. 

Namun tumpuan kini terarah kepada perebutan jawatan timbalan presiden apabila Naib Presiden Nurul Izzah Anwar dijangka mencabar penyandang Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli untuk posisi nombor dua parti.

Menurut sumber, setakat 3.30 petang ini, tiada lagi pencalonan diterima untuk jawatan Timbalan Presiden manakala 11 pencalonan telah diterima bagi jawatan Naib Presiden. 

Setakat ini, Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim merupakan calon tunggal bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) manakala Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fadhlina Sidek juga merupakan calon tunggal untuk mempertahankan jawatannya, kata sumber berkenaan. 

Proses bantahan ditetapkan pada 11 dan 12 Mei ini, diikuti rayuan bantahan (13-14 Mei), tarikh akhir penarikan diri (14 Mei), senarai muktamad calon (15 Mei), tempoh kempen (15-22 Mei) dan pengundian pada 23 Mei.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan