POLITIK > BERITA

PEMILIHAN CABANG PKR APRIL LEPAS JAUH LEBIH TERTIB BERBANDING TAHUN SEBELUMNYA - FAHMI

14/05/2025 12:17 PM

SHAH ALAM, 14 Mei (Bernama) -- Pemilihan Cabang PKR yang berlangsung April lepas disifatkan jauh lebih tertib dan teratur jika dibandingkan dengan tahun-tahun terdahulu, kata Ketua Penerangan parti Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata keputusan parti untuk menggunakan sistem baharu dalam pemilihan cabang baru-baru ini turut menggambarkan PKR, sebuah parti yang menjamin integriti sesiapa yang dipilih tanpa gangguan mana-mana pihak.

“Kali ini parti telah buat keputusan awal untuk memanfaatkan teknologi dan tidak membenarkan berkumpul beramai-ramai untuk (proses) mengundi di peringkat cabang. Kita dapati proses seperti itu amat membantu menjaga tertib dan disiplin.

“Malah keputusan itu bagi saya tepat kerana pertama menunjukkan PKR sebuah parti yang pandang ke depan, memanfaatkan teknologi seperti blockchain untuk tujuan menjamin integriti pemilihan utuh dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak, di samping disiplin (ahli) patuh keputusan parti untuk tidak berkumpul lebih 50 orang di satu-satu tempat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian pada program wawancara khas Interviu terbitan Sinar Harian yang disiarkan malam tadi.

Mengulas tanggapan sesetengah pihak bahawa pemilihan PKR kali ini sebagai bising, Fahmi berkata prosesnya jauh lebih tenang tanpa mana-mana pemilihan terhenti atau tergendala sepenuhnya berbanding sebelum ini, terutamanya yang pernah dilihat pada 2019, iaitu sebelum berlakunya Langkah Sheraton.

“Bagi saya ia seribu kali lebih baik berbanding sebelum ini. Saya sangat tidak setuju bahawa ia adalah pemilihan yang bising, tapi kita semua faham demokrasi itu bingit, ia bingit, tapi bukan chaos.

“Jadi kebingitan itu penting, menjadi cerminan kepada kerencaman pandangan dan sikap. Itulah demokrasi. Bagi saya ini peluang baik untuk parti diberi satu semangat baharu tanpa kita meninggalkan mana-mana pihak,” katanya.

Sementara itu Fahmi berkata beliau percaya kepimpinan parti akan berlaku adil dalam meletakkan seseorang itu di tempat yang selayaknya untuk terus mengukuhkan hala tuju parti walaupun tewas atau tidak terpilih pada akhir proses pemilihan.

“Itulah konsep PKR dan macam pengalaman saya sendiri tahun 2022, kali pertama saya bertanding waktu itu sebagai Naib Presiden, tapi tewas tidaklah (tewas) teruk.

“Namun pimpinan merasakan saya masih boleh berbakti, masih boleh membantu parti maka saya dilantik menjadi Ketua Penerangan walaupun tewas, tapi saya dilantik. Jadi saya lihat parti ada banyak ruang dan memberi banyak peluang kepada semua yang ingin terus berkhidmat kepada parti, nusa serta bangsa,” katanya.

Proses pencalonan yang berakhir pada Jumaat lepas menyaksikan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar, manakala jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertandingan antara anaknya, Nurul Izzah Anwar dengan penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi.

Bagi jawatan Naib Presiden, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandang iaitu Nik Nazmi Nik Mat (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim menang tanpa bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), manakala jawatan Ketua Wanita menyaksikan pertandingan antara Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Wanita dijadual berlangsung pada 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru dengan hari pengundian ditetapkan pada 23 Mei.    

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan