POLITIK > BERITA

PEMILIHAN PKR: FAHMI IKRAR BANTU PARTI RENCANA LANGKAH MENUJU PRU16, PRN

16/05/2025 01:26 AM

KEPALA BATAS, 15 Mei (Bernama) -- Merencana langkah menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menjadi keutamaan Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil yang menawarkan diri sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan PKR sesi 2025-2028.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata perkara itu merupakan gerak kerja pertama yang akan dilakukannya sekiranya diberi mandat membarisi MPP bagi membantu parti berusia 26 tahun itu termasuk persiapan manifesto.

“Kita sudah pasti perlu mula merencana langkah-langkah menuju PRU16, malah kita tahu dalam masa terdekat ada PRN Sabah, Melaka dan Johor. Jadi, gerak kerja pertama yang perlu dilaksanakan bukan hanya PKR, tetapi sudah pasti banyak parti lain ialah persiapan menuju pilihan raya ini.

“Dari segi persiapan manifestonya, persiapan gerak kerja mendekati akar umbi, menyantuni rakyat, menyelesaikan masalah serta memahami dasar yang perlu diketengahkan. Ini akan menjadi antara keutamaan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Jelajah Kita Keadilan di Dewan Tok Mat Yahoo di sini malam ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung parti, Dr Fuziah Salleh.

Fahmi turut menasihati semua calon supaya bertanding secara sihat dengan menyampaikan hujah serta pandangan sekali gus memperkukuh kesepaduan dalam parti bagi membantu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merealisasikan segala agenda reformasi serta pembangunan yang sedang direncana.

Mengulas pertandingan antara Nurul Izzah Anwar dengan Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi bagi jawatan Timbalan Presiden, Fahmi menyifatkan ia sebagai pertandingan antara dua susuk yang mempunyai sejarah lama dan bersama parti dari awal penubuhan.

“Saya lihat kedua-duanya ada teknik sendiri, ada cara sendiri untuk mereka menyampaikan pandangan, visi mereka kepada perwakilan, ada yang menggunakan statistik, ada yang menggamit memori, berhujah menggunakan slide, membina mood, semangat dan perjuangan.

“Saya rasa dua-dua tokoh ini mempunyai keupayaan masing-masing dan mempunyai penyokong masing-masing, Nurul Izzah telah memegang jawatan naib presiden sejak 2010 manakala Rafizi telah membantu parti kembalikan kegemilangan terutama selepas berlaku Langkah Sheraton,” katanya.

Bagaimanapun, Fahmi berkata Anwar selaku presiden parti ingin menyaksikan kedua-dua figura itu terus memainkan peranan dalam parti walau apa jua keputusan pemilihan pada 23 Mei ini, malah Nurul Izzah dan Rafizi juga menyatakan akan kembali kepada akar umbi untuk terus menggerakkan PKR sekiranya tewas dalam perebutan jawatan nombor dua parti itu.

Fahmi juga berkata PKR mempunyai satu trend, iaitu kepimpinan parti akan melibatkan sesiapa dalam apa jua cara atau jawatan sekiranya yakin bahawa individu berkenaan mampu membantu parti dan berhubung dengan rakyat.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Wanita dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru dengan hari pengundian ditetapkan pada 23 Mei.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan