POLITIK > BERITA

KONGRES NASIONAL PKR 2024/2025 BERMULA HARI INI

22/05/2025 09:14 AM

JOHOR BAHRU, 22 Mei (Bernama) -- Kongres Nasional PKR 2024/2025 bermula hari ini dengan perasmian serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita oleh Setiausaha Agung Dr Fuziah Salleh.

Perasmian kongres akan berlangsung pada 8 malam di Berjaya Waterfront Hotel di sini, dengan dihadiri Ketua AMK Adam Adli Abdul Halim, Ketua Wanita Fadhlina Sidek serta perwakilan kedua-dua sayap.

Kedua-dua sayap parti akan memulakan kongres masing-masing esok, dengan ucapan dasar Adam Adli dan Fadhlina.

Ia diikuti dengan sesi perbahasan ucapan dasar ketua sayap sebelum sesi penggulungan oleh setiausaha, naib ketua, timbalan ketua dan ketua sayap masing-masing.

Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat akan diadakan pada Jumaat merangkumi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita, bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Presiden PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyampaikan ucapan dasar sekali gus merasmikan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada sebelah malam, hari sama.

Fuziah sebelum ini berkata hampir 10,000 perwakilan dijangka hadir pada Kongres Nasional PKR 2024/2025 seterusnya mengundi secara fizikal bagi Pemilihan Pusat manakala 20,000 perwakilan lagi akan mengundi secara dalam talian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan