POLITIK > BERITA

STATUS KEAHLIAN LIMA PEMIMPIN STAR DITENTUKAN ESOK - JEFFREY

07/10/2025 09:00 PM

KOTA KINABALU, 7 Okt (Bernama) -- Status keahlian lima pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang memilih untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, akan diputuskan esok.

Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas esok, untuk menentukan kedudukan kelima-lima wakil rakyat berkenaan.

“Saya telah memberikan mereka tempoh selama seminggu untuk menentukan keputusan mereka sama ada mahu terus bersama STAR atau sebaliknya, dan tempoh itu berakhir esok,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangasa Kota Kinabalu, di sini petang ini.

Khamis lepas, STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) memutuskan untuk keluar daripada GRS dan bertanding secara solo dalam PRN17.

Bagaimanapun, semasa pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Ketua Menteri Datuk Seri Seri Hajiji Noor semalam, empat wakil rakyat STAR hadir iaitu Timbalan Presiden STAR Datuk Ellron Angin yang juga penyandang kerusi Sook; Datuk Abidin Madingkir (Paginatan); Datuk Annuar Ayub (Liawan); dan Flovia Ng (Tulid).

Seorang lagi Timbalan Presiden STAR yang juga penyandang kerusi Bingkor Datuk Robert Tawik, walaupun tidak hadir pada majlis itu kekal menyokong GRS dan kelima-lima wakil rakyat tersebut hadir pada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS di sini, hari ini.

Jeffrey berkata beliau menghormati keputusan berkenaan dan itu adalah hak mereka untuk membuat sebarang keputusan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan