POLITIK > BERITA

UITM PERLU MUNCUL SEBAGAI UNIVERSITI USAHAWAN TVET GLOBAL - AHMAD ZAHID

12/10/2025 04:01 PM

KUALA SELANGOR, 12 Okt (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) perlu muncul sebagai Universiti Usahawan TVET Global dalam memperkukuh lagi keberhasilan siswazahnya selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35). 

‎‎Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata untuk itu, UiTM disarankan supaya memfokuskan latihan keusahawanan kepada penuntut agar universiti itu bukan sahaja melahirkan siswazah yang profesional, tetapi juga mampu mencipta pekerjaan.

‎‎"Nilai kadar pengangguran bumiputera yang kini berada pada empat peratus lebih tinggi daripada kadar nasional. Daripada hampir 388,000 orang yang menganggur, 70 peratus ialah belia berumur 15 hingga 30 tahun yang majoritinya anak bumiputera. 

‎‎"Inilah cabaran besar yang harus kita tangani, namun ia peluang untuk kita bangkit bersama, kita mesti mencipta kerja bukan hanya mencari kerja, kerana itu apabila saya fikirkan, untuk kita tangani masalah ini, saya mempunyai keazaman untuk memperkukuh agenda TVET dan keusahawanan secara bersama," katanya. 

‎‎Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara berkata demikian ketika berucap pada program Outreach PuTERA35 di sini hari ini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata berdasarkan kajian Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan latihan keusahawanan, perniagaan dan juga perakaunan boleh melahirkan lebih ramai usahawan dalam negara.

‎‎"Saya yakin, dengan sokongan PuTERA35 melalui pembiayaan, inkubasi dan kerjasama industri, UiTM mampu ‎muncul sebagai pusat usahawan TVET unggul di rantau ini," katanya.

‎Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata data terkini menunjukkan dalam kalangan syarikat yang ‎tersenarai di Bursa Malaysia, hanya tujuh peratus sahaja dimiliki majoriti bumiputera, iaitu daripada 945 syarikat tersenarai ‎setakat 2022, hanya 62 syarikat berada di bawah kawalan lebih 50 peratus milik bumiputera.

‎Beliau berkata dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, hanya satu syarikat bumiputera berjaya disenaraikan, berbanding 96 syarikat bukan bumiputera.

‎"Kita bukan cemburu dan bukan menanamkan kebencian, tetapi kita melakukan muhasabah dan kritikan kendiri sebab perkara ini berlaku, angka ini menunjukkan jurang penguasaan korporat yang masih begitu besar dan mesti ditangani segera.

‎"Kita mesti berjalan ke hadapan untuk menyenaraikan lebih banyak lagi syarikat bumiputera di Malaysia dan insya-Allah menjelang akhir tahun ini akan ada lagi (syarikat disenaraikan)," katanya.

‎Beliau berkata lebih banyak syarikat bumiputera perlu disenaraikan di pasaran terbuka agar dapat menjadi pemangkin kepada syarikat bumiputera lain untuk mengikuti langkah sama.

‎-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan