POLITIK > BERITA

JOHN SIKIE PRESIDEN BAHARU PARTI RAKYAT SARAWAK

19/10/2025 11:32 PM

KUCHING, 19 Okt (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tatau Datuk Seri John Sikie Tayai, 75, dipilih sebagai presiden baharu Parti Rakyat Sarawak (PRS) bagi penggal 2025–2028.

Pengumuman itu dibuat pada hari terakhir Persidangan Perwakilan Tri Tahunan keenam parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu di sini hari ini.

Sikie memenangi jawatan presiden dengan memperolehi 186 undi menewaskan ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang yang memperoleh 154 undi.

Kemenangan itu membolehkan beliau mengambil alih kepimpinan parti itu daripada Datuk Seri Joseph Salang Gandum yang telah mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya.

Jawatan Timbalan Presiden pula disandang oleh Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan II (Pembangunan Pelabuhan) Sarawak Datuk Majang Renggi yang juga ADUN Samalaju, yang menang tanpa bertanding selepas penarikan diri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II (Industri Kreatif dan Seni Persembahan) negeri dan ADUN Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan.

Sementara itu, Ahli Parlimen (MP) Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodie mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Wanita PRS tanpa bertanding manakala ADUN Tamin, Christopher Gira Sambang telah dipilih sebagai Ketua Belia PRS yang baharu. Kedua-dua jawatan tersebut secara automatik menjadikan kedua-duanya antara tujuh naib presiden parti itu.

Lima lagi jawatan naib presiden disandang oleh MP Kanowit Datuk Sri Aaron Ago Dagang, MP Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, ADUN Belaga Datuk Liwan Lagang, ADUN Bukit Begunan Datuk Mong Dagang dan Senator Rita Sarimah Patrick Insol.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan