POLITIK > BERITA

PRN17 MEDAN NILAI PENGARUH PENGUNDI MUDA CORAKKAN POLITIK SABAH

04/11/2025 02:01 PM

Oleh Suraidah Roslan

KOTA KINABALU, 4 Nov (Bernama) -- Ramai penganalisis politik melihat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 (PRN17) bulan ini, sebagai medan untuk menilai pengaruh pengundi muda dalam mencorakkan lanskap politik di Sabah.

Berdasarkan Daftar Pemilih Induk 2024 sehingga Daftar Pemilih Tambahan Ogos 2025, sebanyak 126,979 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun dan 406,950 pengundi berusia 21 hingga 29 tahun daripada keseluruhan 1.78 juta pengundi di 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Bagi Felo Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Bilcher Bala berkata jumlah pengundi muda yang signifikan itu, mampu menjadi penentu kepada corak pengundian PRN Sabah ke-17, khususnya di DUN marginal dan kawasan bandar atau separa bandar.

Namun Anggota Majlis Sejarawan Negara itu menjelaskan kemampuan pengundi muda untuk mencorakkan keputusan pilihan raya itu, tidak bergantung kepada jumlah yang ramai semata-mata tetapi juga kepada tahap literasi politik, mobilisasi dan kejelasan naratif ditawarkan jentera parti politik kepada mereka.

“Dalam landskap Pasca-Undi18, anak muda semakin cenderung menilai calon berdasarkan keperibadian dan kecekapan, bukannya sekadar kesetiaan kepada parti.

“Justeru itu, calon yang mampu membina hubungan langsung dengan komuniti muda dan menawarkan penyelesaian konkrit terhadap isu generasi muda, berpeluang besar untuk mencipta gelombang sokongan baharu,” katanya kepada Bernama.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 Nov ini, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 Nov.

Undi18 yang berkuat kuasa pada Disember 2021 membolehkan warganegara berumur 18 tahun ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pengundi, sekali gus menjadikan PRN Sabah ke-17 medan ujian pertama untuk menilai corak dan kecenderungan pengundi muda dalam menentukan hala tuju politik negeri.

Bilcher berkata calon yang ingin menarik perhatian pengundi muda, perlu menonjolkan isu yang berakar kepada realiti hidup semasa seperti peluang pekerjaan, pemerkasaan ekonomi tempatan dan akses kepada infrastruktur asas seperti jalan raya, Internet, serta perumahan untuk generasi muda.

Beliau berkata selain itu, isu seperti pemulihan hak Sabah dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ketelusan pentadbiran, dan penglibatan anak muda dalam proses membuat keputusan politik juga berpotensi mencipta kesan politik mendalam.

Sementara itu, Pensyarah Kanan UMS Dr Haryati Abdul Karim berpendapat pengundi muda di Sabah mungkin belum dapat membawa tsunami kepada politik Sabah pada pilihan raya negeri kali ini, kerana ramai dalam kalangan mereka masih kurang memahami dan mengikuti perkembangan politik semasa.

Penyelidik Kajian Pilihan Raya dan Geopolitik Borneo (GeoPES) itu berkata jumlah pengundi berumur di bawah 30 tahun hanyalah 30 peratus berbanding 70 peratus atas 30 tahun, maka agak sukar untuk mengatakan mereka boleh merubah pola pengundian di Sabah.

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan kajiannya anak-anak muda cenderung memilih berdasarkan faktor calon dan bukan parti semata-mata, malah ramai anak muda di negeri ini tidak menunjukkan kecenderungan kepada mana-mana parti politik.

“Apa yang sering ditekankan oleh pengundi muda, mereka mahukan pemimpin yang benar-benar dapat memajukan Sabah dan menyelesaikan masalah asas, yang masih membelenggu hidup mereka seperti kemudahan asas, peluang pekerjaan, isu pemilikan rumah mampu milik serta kos sara hidup,” katanya.

Haryati berkata bagi memenangi hati pengundi muda, calon tersebut mesti membawa idea-idea dan wawasan yang baharu untuk membangunkan Sabah, kerana pengundi muda menilai calon dan parti daripada rekod prestasi pemerintahan mereka.

Beliau berkata berdasarkan temuramahnya dengan anak muda, ramai antara mereka melahirkan kekecewaan terhadap masalah infrastruktur di kawasan mereka yang masih belum selesai dan tidak ada pembaharuan yang mendorong mereka mahukan calon muka baharu.

Haryati berkata kajiannya sebelum ini juga menunjukkan anak muda kurang percaya kepada kempen-kempen politik melalui laman media sosial seperti Tiktok, sebaliknya mereka mahukan kempen bersemuka agar dapat menilai keperibadian calon.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan