KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan Md Nadzmin Kamin akan mengutamakan penyelesaian masalah “tiga serangkai” iaitu jalan rosak, bekalan air dan gangguan elektrik sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.
Md Nadzmin yang berdepan saingan tujuh penjuru di DUN dalam kawasan Parlimen Ranau, kira-kira 106 kilometer dari sini, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 berkata masalah itu sememangnya masih menjejaskan nadi ekonomi tempatan, termasuk sektor pelancongan, pertanian dan penternakan.
“Jalan yang rosak menyukarkan pengusaha menghantar hasil ke pasaran, kesesakan di pekan Ranau serta jalan sempit ke Kundasang dan Poring menjejaskan pengalaman pelancong, manakala gangguan air dan elektrik mengganggu operasi inap desa, kilang kecil, dan pengusaha produk tenusu,” katanya dalam kenyataan selepas melakukan kunjungan mesra di kawasan Nagaya dan Tudan hari ini.
Calon berusia 40 tahun itu juga yakin dengan kesinambungan pentadbiran berpengalaman dan berpaksikan rakyat, Ranau khususnya Karanaan boleh dipulihkan sebagai hab pertanian moden dan destinasi pelancongan mampan yang sebenar di Sabah.
“Karanaan memerlukan wakil rakyat baharu yang mampu membawa pembangunan infrastruktur, kemudahan asas dan peluang ekonomi setempat ke tahap lebih progresif,” katanya.
Justeru, beliau menyeru penduduk Karanaan untuk bersama membangunkan kawasan berkenaan dengan lebih progresif dan berdaya saing, demi masa depan lebih baik.
Pada PRN Sabah kali ini, Md Nadzmin berdepan enam calon lain iaitu Karim Adam daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Mohd Anuar Abdul Ghani (Parti Solidariti Tanah Airku Sabah-STAR), Datuk Seri Masidi Manjun (Gabungan Rakyat Sabah-GRS), Mukinin @ Mazlan Daiman (Warisan), Naomi @ Neomi Francis (Bebas) dan Georgina L George (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu -UPKO).
Pada pilihan raya negeri 2020, kerusi DUN Karanaan dimenangi Masidi yang ketika itu bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 4,814.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial