TAWAU, 17 Nov (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai Datuk Ruji Ubi berkata beliau boleh menjadi penghubung antara rakyat Merotai dan Putrajaya sekiranya pengundi memberinya mandat sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau berkata DUN Merotai masih memerlukan banyak peruntukan termasuk pembangunan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH akan bersedia mempertimbangkan perkara itu.
"Saya cukup yakin Perdana Menteri akan bersedia mendengar dan mempertimbangkan peruntukan untuk kita bagi manfaat penduduk DUN Merotai. Saya perlukan orang merata memberikan kepercayaan kepada saya untuk membolehkan saya berkhidmat kepada mereka.
"Saya rasa peluang yang diberikan oleh Perdana Menteri ini sesuatu peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan oleh orang Merotai bagi saya membantu mereka," katanya kepada Bernama selepas Program Mesra Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kijang, Merotai di sini hari ini.
Ruji berkata perkara penting yang ditekankan Anwar adalah peruntukan yang diberikan kepada Sabah dapat dibelanjakan sebaiknya dan tiada ketirisan serta mengamalkan tatakelola yang baik.
"Hal ini antara hasrat beliau (Perdana Menteri) meminta saya balik dan bertanding di DUN Merotai ini," katanya.
Ruji turut berharap pengorbanan beliau untuk bersara awal daripada perkhidmatan awam demi anak-anak Merotai dapat dihargai.
"Kalau saya fikir mengenai diri saya sendiri dan keluarga saya, masih ada dalam lima tahun berkhidmat selaku ketua jabatan atau ketua setiausaha di kementerian. Saya harap pengorbanan ini dihargai dan dipilih pengundi supaya saya dapat berkhidmat kepada rakyat Merotai.
"Saya mahu berbakti kepada DUN Merotai kerana penting ilmu dan pengalaman yang saya dapat lebih kurang 30 tahun dalam perkhidmatan awam boleh dikembalikan kepada tempat di mana saya dilahirkan 55 tahun lepas," katanya.
Tarikh pengundian awal PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 25 Nov manakala hari pengundian 29 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N72: MEROTAI: SABAH: 26,179
1. Rhyme @ Reymie Kassim
(PIS)
2. Hasan Haris
(PN-PAS)
3. Sarifuddin Hata
(Warisan)
4. Datuk Ruji Ubi
(PH-PKR)
(2020: Sarifuddin Hata: Warisan Plus-Warisan: Maj: 1,587)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial